Oleh: Aniq Aiman Hairulbadrishah
KUALA NERUS, 9 April 2026 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Kelab Kebajikan dan Rekreasi HEPA (KKR-HEPA) telah menganjurkan Program Lestari HEPA 3/2026 bertempat di Ruang Lobi Aras Bawah, Kompleks Siswa UMT.
Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari ini merupakan satu inisiatif berterusan HEPA dalam memperkukuh budaya kelestarian dalam kalangan warga kampus selaras dengan aspirasi pembangunan mampan global.

Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), yang dalam ucapannya menegaskan bahawa kelestarian bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik dalam memastikan kesejahteraan kampus dan masyarakat secara menyeluruh.
Menurut beliau, usaha ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) serta SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim).

Program ini turut diserikan dengan sesi perkongsian kelestarian bertajuk “Kelestarian Sebagai Gaya Hidup” yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Izan binti Dato’ Haji Jaafar, Felo Bersekutu HEPA. Dalam sesi tersebut, beliau menekankan bahawa kelestarian perlu diterjemahkan sebagai amalan harian dan bukan sekadar slogan atau program bermusim.
Beliau turut berkongsi pandangan bahawa perubahan kecil yang konsisten seperti pengurangan penggunaan plastik, amalan kitar semula serta kesedaran terhadap penggunaan sumber mampu memberi impak besar kepada kelestarian alam sekitar sekiranya diamalkan secara kolektif oleh warga kampus.

Program ini turut mengetengahkan pendekatan praktikal melalui kempen galakan warga HEPA untuk membawa pinggan dan cawan sendiri sebagai usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
Inisiatif ini membawa mesej utama “Bawa Sendiri, Guna Semula, Jaga Bersama” sebagai simbol komitmen bersama ke arah kampus lestari.
Antara pengisian lain termasuk sesi memperkenalkan staf baharu HEPA serta sambutan hari lahir staf bagi bulan Januari hingga April 2026 sebagai tanda penghargaan kepada warga kerja.
Turut diadakan adalah gimik peluncuran tiga program kebersamaan di bawah Kelab Kebajikan dan Rekreasi HEPA (KKR-HEPA), iaitu Majlis Apresiasi HEPA, Program Survival Bingkas HEPA Bidong dan Hari Terbuka HEPA yang bakal memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga HEPA.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen HEPA UMT dalam memupuk nilai kelestarian sebagai amalan harian serta menggalakkan penglibatan aktif seluruh warga kampus dalam usaha menjaga alam sekitar.
Diharapkan melalui program seumpama ini, UMT terus berperanan sebagai institusi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan penyelidikan, malah menjadi peneraju dalam pembentukan komuniti kampus yang lestari, sejahtera dan berdaya tahan.
Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada KKR-HEPA, UMT di atas inisiatif penganjuran program lestari ini.












