Oleh : Rohaizan Khairul Anuar
JOHOR BAHRU, 4 Okt – Dahulu datuk dan nenek, disusuli ibu dan bapa, kini giliran cucu pula melangkah ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Pendaftaran pelajar baharu sesi akademik 2026/2027 membawa makna istimewa buat sebahagian keluarga apabila tiga generasi berkongsi pengalaman menuntut ilmu di universiti yang sama.
Meraikan hubungan istimewa ini, Pusat UTMAlumni julung kalinya menganjurkan inisiatif Jejak Legasi Alumni UTM 2026 bersempena hari pendaftaran pelajar baharu di UTM Johor Bahru bagi meraikan alumni yang kembali ke kampus, kali ini sebagai ibu bapa kepada generasi baharu mahasiswa UTM.
Bagi sesetengah keluarga, UTM bukan sekadar tempat memperoleh pendidikan tinggi, malah menjadi sebahagian daripada sejarah dan identiti keluarga. Pengalaman yang pernah dilalui oleh ibu bapa, malah datuk dan nenek, kini menemukan kesinambungannya apabila anak-anak pula memilih universiti yang sama untuk membina masa depan.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, penganjuran Jejak Legasi Alumni UTM ini mencerminkan hubungan sepanjang hayat antara universiti dengan alumninya.
“Apabila seorang alumni kembali ke UTM untuk menghantar anaknya melanjutkan pengajian, ia membawa makna yang cukup istimewa. Inilah antara manifestasi paling bermakna tentang hubungan sepanjang hayat antara universiti dengan alumninya. “UTM bukan sahaja melahirkan graduan, tetapi terus menjadi sebahagian daripada perjalanan dan sejarah sesebuah keluarga,” katanya.
Penganjuran tahun ini melibatkan enam kolej kediaman, iaitu Kolej Rahman Putra, Kolej Tun Fatimah, Kolej Tun Razak, Kolej Tun Hussein Onn, Kolej Tun Dr. Ismail dan Kolej Tuanku Canselor.
Lebih 100 alumni telah hadir menerusi inisiatif ini dan turut disantuni oleh Pengurusan Tertinggi Universiti. Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim turut meluangkan masa beramah mesra bersama alumni yang hadir mengiringi anak-anak mereka sepanjang proses pendaftaran.
Sebagai tanda penghargaan, alumni yang menyertai program ini turut menerima cenderamata khas daripada universiti, termasuk “muffler” UTM yang menjadi simbol identiti dan tanda kebanggaan mereka sebagai Alumni UTM. Pemakaian muffler tersebut pada hari berkenaan turut menjadi penanda istimewa yang membezakan mereka sebagai alumni yang kembali ke kampus untuk menyaksikan generasi seterusnya memulakan perjalanan di UTM.
Bagi ibu bapa yang pernah bergelar mahasiswa UTM, pengalaman menghantar anak sendiri ke kampus pastinya mengimbau kembali kenangan ketika pertama kali melangkah ke universiti, mengenali rakan seperjuangan serta membina asas kepada kehidupan dan kerjaya mereka hari ini.
Kegembiraan dan rasa bangga turut terpancar dalam kalangan alumni apabila anak-anak mereka kini berpeluang mengikuti jejak langkah yang sama. Bukan sekadar meraikan kejayaan anak melanjutkan pengajian ke menara gading, detik ini menjadi lebih bermakna apabila universiti yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup mereka kini turut menjadi tempat anak-anak membina impian dan masa depan.
Bezanya, kali ini mereka kembali bukan sebagai mahasiswa, tetapi sebagai ibu bapa yang menyaksikan permulaan sebuah perjalanan baharu.
Dengan komuniti alumni yang kini merangkumi lebih 257,000 graduan, penganjuran Jejak Legasi Alumni UTM turut memperlihatkan komitmen universiti untuk memastikan hubungan dengan graduannya terus dipelihara dan diperkukuh melalui penglibatan keluarga serta generasi seterusnya.
Lebih daripada sebuah program sambutan, Jejak Legasi Alumni UTM 2026 meraikan sebuah ikatan yang tidak berakhir pada hari konvokesyen, sebaliknya terus hidup melalui kenangan, pencapaian dan kebanggaan yang dikongsi bersama.







Sumber: UTM NewsHub












