Advertisement

IMPIAN KE UPM: BAPA CARI REZEKI RM900

Oleh: Aliah Amanina

MACHANG, 22 Ogos – Usaha memastikan kebajikan bakal mahasiswa terus diberi keutamaan apabila pimpinan tertinggi Universiti Putra Malaysia (UPM) turun padang menyantuni pelajar di Kelantan.

Bakal mahasiswa tersebut, Nur Amni Qistina Binti Ruhaimi dari Kampung Jelutong Tok Bok, Machang, merupakan calon pelajar program Bacelor Sastera Kesusasteraan Melayu dengan Kepujian di UPM.

Nur Amni dan keluarganya yang tergolong dalam kelompok B40 kini berdepan cabaran besar untuk menyediakan kos permulaan pengajian ke universiti.

Bapanya, Ruhaimi bin Said, bekerja sendiri dengan pendapatan sekitar RM900 sebulan untuk menyara empat orang tanggungan.

Ibunya, Salmah binti Mamat, pula merupakan seorang suri rumah sepenuh masa dan tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan.

Dengan punca kewangan yang amat terhad, keluarga berkenaan berdepan kesukaran menyediakan kelengkapan asas pendaftaran, buku, dan kos penginapan awal di kampus.

Bagi mengatasi kekangan tersebut, Nur Amni telah memohon Bantuan Awal Pengajian untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga sebelum melangkah ke menara gading.

Kesukaran hidup yang dialami oleh pelajar berkenaan telah mendapat perhatian khusus menerusi program Ziarah Kasih Pelajar Baharu KPT-UPM @ Kelantan 2026.

PENGERUSI LPU UPM DAN TNC HEPA UPM BERSAMA NUR AMNI DAN BAPANYA

Delegasi ziarah tersebut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, YBhg. Dato’ Sri Jailani Johari, bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu.

Kehadiran pengurusan tertinggi universiti bersama wakil Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menterjemahkan komitmen bahawa kebajikan pelajar sentiasa diutamakan.

Pendekatan turun padang ini memberi ruang kepada pihak UPM untuk memahami secara terus realiti kehidupan serta keperluan asas bakal mahasiswa sebelum pengajian bermula.

Penyaluran bantuan awal ini diharapkan dapat membolehkan Nur Amni memulakan pengajian tanpa dibayangi oleh kebimbangan masalah kewangan yang berat.

Bagi Nur Amni, tawaran pengajian di UPM menjadi landasan utama untuk mengubah nasib keluarga dan membina masa depan yang lebih cerah.

Pihak universiti menegaskan bahawa kekangan ekonomi tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada anak bangsa yang berpotensi untuk menggenggam ijazah.

Perjalanan Nur Amni dari Machang ke UPM membuktikan bahawa tekad dan impian tinggi mampu mengatasi pelbagai kesusahan hidup.