Oleh : Masnawi Miskam
KUALA KEDAH, 11 Sep – Impian melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi sumber kekuatan buat Siti Zulaikha Roslan untuk membina masa depan dan meneruskan harapan arwah ayahnya, meskipun perjalanan hidupnya sejak kecil penuh dengan cabaran.
Anak keempat daripada lima beradik itu membesar dalam keluarga sederhana di sebuah perkampungan nelayan di Kuala Kedah yang banyak bergantung kepada arwah ayah sebagai pencari nafkah utama. Ayahnya bekerja sebagai tukang pukat bagi menyara keluarga.
Namun, ketika Siti Zulaikha berusia lapan tahun, keadaan keluarganya berubah selepas ayahnya mengalami masalah kesihatan berkaitan jantung sehingga tidak lagi mampu bekerja seperti sebelumnya.
Keadaan itu menyebabkan abang dan kakaknya mengambil alih tanggungjawab membantu menyara keluarga. Bagi Siti Zulaikha, pengorbanan kedua-duanya sentiasa menjadi ingatan, lebih-lebih lagi mereka turut mempunyai keluarga dan tanggungjawab masing-masing.
“Abang dan kakak mengambil alih tugas ayah dalam menyara kami sekeluarga. Namun, mereka juga mempunyai keluarga dan tanggungjawab sendiri. Oleh disebabkan itu, saya seboleh-bolehnya tidak mahu terlalu bergantung kepada mereka untuk membiayai pengajian dan keperluan saya,” katanya.

Ujian terbesar pula hadir pada saat yang sepatutnya menjadi detik kegembiraan buat dirinya. Pada hari keputusan peperiksaan semester terakhir di Matrikulasi diumumkan, Siti Zulaikha kehilangan insan yang amat penting dalam hidupnya apabila ayahnya meninggal dunia.
Pemergian itu memberi kesan mendalam kepadanya sehingga beliau pernah terfikir untuk tidak meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Bagaimanapun, hasrat untuk melanjutkan pelajaran kembali apabila beliau menerima peluang menyambung pengajian di UTM Johor Bahru.
Siti Zulaikha dijadualkan mendaftar pada 4 Oktober 2026 untuk mengikuti pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) di UTM Johor Bahru.
Perjalanan dari Kuala Kedah ke Skudai bukan sekadar perjalanan merentasi negeri, malah menjadi langkah baharu buat Siti Zulaikha dalam membina masa depannya. Jauh daripada ibu dan keluarga, beliau menyedari bahawa kehidupan sebagai mahasiswa memerlukan persediaan, pengorbanan dan perbelanjaan yang bukan sedikit.
Selain yuran pengajian dan keperluan pembelajaran, perbelanjaan harian serta kos perjalanan antara Kedah dan Johor turut menjadi antara perkara yang difikirkannya sepanjang tempoh pengajian.
Malah, sebelum melangkah ke alam universiti, Siti Zulaikha pernah bekerja bagi membantu membayar yuran pendaftaran serta menyediakan keperluan dirinya sendiri.
Sehubungan itu, kunjungan Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, ke kediaman keluarga Siti Zulaikha pada 11 September 2026 menerusi inisiatif Ziarah Kasih UTM menjadi sebahagian daripada usaha universiti menyantuni bakal pelajar baharu yang memerlukan perhatian dan sokongan sebelum memulakan pengajian.
Dalam kunjungan tersebut, Prof. Dr. Mohd Shafry turut mengucapkan tahniah kepada Siti Zulaikha atas kejayaan memperoleh peluang melanjutkan pengajian di UTM.
Beliau turut menitipkan nasihat agar Siti Zulaikha terus berusaha bersungguh-sungguh, memanfaatkan peluang menuntut ilmu sebaik mungkin serta menjadikan kejayaan akademik sebagai salah satu cara untuk membahagiakan keluarga.

Sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap kebajikan bakal mahasiswa, Prof. Dr. Mohd Shafry turut menyampaikan sumbangan keseluruhan berjumlah RM1,500 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan UTM bagi membantu meringankan persiapan serta keperluan Siti Zulaikha sebelum memulakan pengajian.
Bagi Siti Zulaikha, peluang melanjutkan pengajian di UTM bukan sahaja membuka ruang untuk mengejar cita-cita, malah menjadi dorongan untuk berdikari dan membalas jasa ibu, abang serta kakaknya yang selama ini menyokong perjalanan pendidikannya.
Walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga, beliau bertekad menjadikan peluang tersebut sebagai langkah untuk membina masa depan yang lebih baik dan meneruskan harapan arwah ayah terhadap pendidikan anak-anaknya.
Perjalanan itu mungkin tidak mudah, namun bagi Siti Zulaikha, setiap cabaran yang ditempuh menjadi sebahagian daripada perjuangan untuk mencapai impian dan menghargai pengorbanan insan yang sentiasa menyokongnya.












