KUALA NERUS, 27 September 2026 – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG) terus memperkukuh hubungan strategik antara akademia dan industri apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama enam (6) agensi pelancongan dalam usaha memperkasa pendidikan serta pembangunan bakat dalam bidang pelancongan dan hospitaliti bertempat di Hospital Sultan Zainal Abidin, Kampus Gong Badak, hari ini.


Kerjasama MoU tersebut melibatkan agensi-agensi berikut:
1. Malaysian Association of Tour and Travel Agents (MATTA) Terengganu Chapter
2. Persatuan Pemuliharaan dan Ecopelancongan Lestari Setiu Wetland (ECOSWED)
3. In Saff Group Sdn. Bhd.
4. The Taaras Beach & Spa Resort (Redang) Sdn. Bhd.
5. Quinara Sdn. Bhd.
6. Ping Anchorage Travel & Tours Sdn. Bhd.
Kerjasama strategik ini dilihat mampu membina sinergi yang lebih kukuh antara institusi pendidikan tinggi dan pemain industri, khususnya dalam menyokong pelaksanaan Program Sarjana Muda Pelancongan Islam dengan Kepujian di UniSZA melalui mod 3u1i. Melalui kerjasama ini, pelajar juga berpeluang memperoleh pendedahan praktikal, latihan industri, kajian lapangan serta pengalaman pembelajaran berasaskan industri, selaras dengan keperluan program dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Inisiatif ini juga selari dengan Strategi Teras 1 (ST1): Graduan Kalis Masa Depan, khususnya melalui Strategi Pelaksanaan 1 (SP1): Kurikulum Tersedia Masa Hadapan dan Strategi Pelaksanaan 2 (SP2): Ekosistem Pembelajaran Lestari seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik UniSZA (2023-2030).
Selain memberi ruang kepada pelajar memahami realiti serta keperluan sebenar industri pelancongan, kerjasama ini turut membuka peluang kepada perkongsian kepakaran, penyediaan latihan, pensijilan profesional dan program pembangunan kompetensi. Inisiatif tersebut diharap dapat menyokong pembangunan holistik mahasiswa serta meningkatkan kebolehpasaran graduan UniSZA.
Pada masa yang sama, jaringan akademia-industri ini turut memberi ruang kepada pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), pemindahan ilmu dan pembangunan komuniti setempat melalui penglibatan pensyarah serta pelajar. Inisiatif ini juga diyakini berupaya memberikan nilai tambah kepada pembangunan dan kemajuan sektor pelancongan, khususnya dalam memperkasa komuniti serta melahirkan modal insan yang kompeten dan berdaya saing.
Majlis pemeteraian MoU telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam, Naib Canselor UniSZA dan wakil agensi pelancongan yang terlibat iaitu YBrs. Encik Wan Jaafree bin Wan Abd Hamid (Pengerusi, MATTA Terengganu Chapter), YBrs. Encik Muhammad Allim bin Jamalludin (Presiden, Persatuan Pemuliharaan dan Ecopelancongan Lestari Setiu Wetland ECOSWED), YBrs. Encik Mohd Aswadi bin Ali (Pengarah Urusan, In Saff Group Sdn. Bhd.), YBrs. Encik Wan Mohd Haizul bin Wan Jusoh (Pengurus Sumber Manusia, The Taaras Beach & Spa Resort (Redang) Sdn. Bhd.), YBrs. Puan Amiratul Syahirah binti Haji Ahmad Ramzi (Pengurus, Quinara Sdn. Bhd.) dan YBrs. Puan Syitie Nur Ain binti Mat Azam (Penyelaras Pelancongan, Ping Anchorage Travel & Tours Sdn. Bhd.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Prof. Madya Dr. Syarilla Iryani binti Ahmad Saany (Pengarah, Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan), Prof. Ts. Dr. Mohd Khairul Amri bin Kamarudin (Dekan Fakulti Sains Sosial Gunaan) serta para pegawai terlibat.
Kerjasama yang dimeterai diharapkan dapat diterjemahkan melalui pelbagai aktiviti dan inisiatif berimpak yang dilaksanakan secara berterusan, sekali gus memperkukuh hubungan pintar antara UniSZA dan keenam-enam rakan strategik industri.












