Oleh : Prof. Madya Ts. Dr. Roslina Mohammad, Dr. Hayati @ Habibah Abdul Talib dan Ts. Rafizah Musa
KUALA LUMPUR, 21 Sept. – Inovasi ECOAIR: Sistem Udara Bersih & Selamat Kelas Pintar hasil kreativiti murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tampoi (A), Dengkil meraih tempat kedua kategori Darjah 6 dalam STEM Stars 2026 Peringkat Negeri Selangor pada 21 September 2026. Selain pencapaian tersebut, inovasi berkenaan turut menerima Anugerah Khas Juri (Special Award), sekali gus melayakkan pasukan SK Bukit Tampoi (A) mara ke peringkat akhir STEM Stars 2026 Peringkat Kebangsaan.
Pencapaian itu menjadi kesinambungan kepada perjalanan pembangunan ECOAIR yang dilalui murid bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bermula daripada pencetusan idea dan pembangunan prototaip, sebelum melalui proses pemurnian projek serta persediaan untuk menyertai pertandingan.

ECOAIR mengetengahkan penyelesaian terhadap isu kualiti udara dalam bilik darjah, khususnya risiko gas seperti butana, propana dan karbon dioksida yang sukar dikesan dengan mata kasar. Inovasi tersebut menggunakan sensor MQ-135 dan ESP32 serta mengintegrasikan Diod Pemancar Cahaya Merah, Hijau, Biru (LED RGB), buzzer dan kipas ekzos automatik sebagai mekanisme amaran dan tindak balas apabila tahap udara dikesan berada pada keadaan berbahaya.

Projek berkenaan dibangunkan oleh tujuh murid Darjah 6 SK Bukit Tampoi (A), iaitu Muhammad Aniq Haziq Salehudin, Mimi Aira anak Diwa, Lili Elisha Esroy Lee, Farieysha Najwa Azeri, Nur Fisara Husna Muhammad Haikal, Gloria Suzana Sangka dan Mohd Irfan Edika, dengan bimbingan STEM Ambassador UTM, Muhammad Aliff Aiman Abdul Halim.
Menerusi pembangunan ECOAIR, murid bukan sahaja didedahkan kepada proses menghasilkan prototaip, malah dibimbing untuk memperkemas penyelesaian, memahami fungsi komponen dan menerangkan idea inovasi kepada pihak lain, termasuk ketika sesi penilaian pertandingan.

Penglibatan UTM dalam STEM Stars diterajui Prof. Madya Ts. Dr. Roslina Mohammad, Ketua Projek yang juga Ketua Kumpulan Penyelidikan Keselamatan dan Kejuruteraan Kenderaan (VES), Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), UTM Kuala Lumpur.
Pasukan STEM Experts turut dianggotai Dr. Mohamed Azlan Suhot, Dr. Hayati @ Habibah Abdul Talib, Ts. Rafizah Musa, Dr. Nur Ayuni Shamsul Bahri dan Dr. Zatil Izzah Ahmad Tarmizi.
Bimbingan yang diberikan secara berperingkat menyokong proses pembangunan projek daripada aspek teknikal, pemurnian penyelesaian serta kemahiran murid dalam menyampaikan dan mempertahankan idea inovasi.

Dari aspek teknikal, ECOAIR mengintegrasikan elemen sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui aplikasi sifat gas, teknologi sensor Internet Kebendaan (IoT), reka bentuk litar geganti (relay) dan penggunaan nilai ambang PPM. Pendekatan tersebut membolehkan murid menghubungkan pengetahuan yang dipelajari dengan penyelesaian terhadap masalah yang dikenal pasti dalam persekitaran bilik darjah.
Projek itu turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3, Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, SDG 4, Pendidikan Berkualiti serta SDG 11, Komuniti dan Bandar Mampan.
Kejayaan meraih tempat kedua Peringkat Negeri Selangor, di samping menerima Anugerah Khas Juri, memperlihatkan potensi murid Orang Asli untuk meneroka bidang STEM melalui peluang, pendedahan dan bimbingan yang berterusan.
Pencapaian tersebut juga meneruskan kerjasama antara UTM, SK Bukit Tampoi (A) dan S P Setia Foundation dalam memperkukuh pengalaman pembelajaran STEM dalam kalangan murid.

Daripada idea yang bermula di bilik darjah, perjalanan ECOAIR kini memasuki fasa seterusnya apabila pasukan SK Bukit Tampoi (A) berjaya melangkah ke peringkat akhir STEM Stars 2026 Peringkat Kebangsaan.
Pencapaian itu membuka ruang kepada murid untuk membawa inovasi yang dibangunkan ke pentas yang lebih luas, di samping mengetengahkan pengalaman dan potensi murid Orang Asli dalam pembelajaran serta inovasi STEM.
Sumber: UTM NewsHub












