Oleh : Mohamad Haider Abu Yazid
KOTA TINGGI, 17 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkasa kemahiran guru dalam pembangunan aplikasi web berbantukan kecerdasan buatan (AI) melalui penganjuran Bengkel Pembangunan Apps Tanpa Kod Menggunakan Google AI Studio di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Saujana, baru-baru ini.
Bengkel yang dilaksanakan oleh Pusat Kejuruteraan Kardiovaskular IJN–UTM (IJN–UTM CEC) bersama SK Seri Saujana di Bilik Sejana i Lab, sekolah berkenaan itu disertai 17 guru dengan memberi tumpuan kepada penggunaan AI dalam pembangunan aplikasi bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah.
Program berkenaan dikendalikan oleh Dr. Mohamad Haider Abu Yazid, Felo Bersekutu IJN–UTM CEC yang juga Pensyarah Kanan di Jabatan Sistem Maklumat, Fakulti Komputeran, UTM, dengan dibantu Hilmi Abdul Rahman, Pegawai Penyelidik IJN–UTM CEC.
Sepanjang bengkel, peserta diperkenalkan kepada pendekatan pembangunan aplikasi web menggunakan Google AI Studio tanpa memerlukan mereka menulis kod secara manual. Sebaliknya, guru dibimbing menterjemahkan idea dan keperluan sekolah kepada aplikasi melalui arahan atau promt yang jelas dan tersusun.
Pengisian bengkel turut merangkumi pengenalan kepada kitar hayat pembangunan sistem, penentuan pengguna sasaran, penyusunan keperluan aplikasi serta proses pembangunan dan pengujian. Dalam sesi berkenaan, peserta dibimbing mengenal pasti masalah dalam tugasan harian sebelum menentukan fungsi utama dan ciri aplikasi yang bersesuaian dengan keperluan pengguna.

Salah satu pengisian utama bengkel ialah penggunaan AI untuk membantu menyusun keperluan aplikasi berdasarkan idea yang dikemukakan peserta. Keperluan yang dijana kemudiannya disemak bagi memastikan tujuan, pengguna sasaran, fungsi dan skop aplikasi menepati keperluan guru serta konteks penggunaannya.
Melalui sesi amali pula, peserta dibimbing membina versi awal aplikasi, menguji fungsi yang dihasilkan dan memberikan arahan khusus bagi membuat penambahbaikan. Penekanan turut diberikan kepada pengujian semula selepas proses pembaikan serta langkah menerbitkan aplikasi untuk membolehkan ia diakses oleh pengguna lain.

Hasil bengkel menyaksikan peserta berjaya menghasilkan beberapa aplikasi yang berkaitan dengan keperluan sebenar sekolah. Antaranya termasuk aplikasi pemantauan emosi murid bagi menyokong perkhidmatan bimbingan dan kaunseling, sistem pengurusan kehadiran murid dengan paparan papan pemuka serta sistem perekodan maklumat pencapaian murid.
Dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, peserta turut menghasilkan aplikasi kuiz tatabahasa Bahasa Melayu dan aplikasi intervensi pembelajaran Bahasa Melayu. Selain itu, beberapa aplikasi pengurusan sekolah turut dibangunkan, termasuk aplikasi pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) serta sistem perekodan penggunaan Pusat Sumber Sekolah (PSS).
Kepelbagaian aplikasi yang dihasilkan memperlihatkan bagaimana guru dapat menghubungkan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dalam bengkel dengan keperluan sebenar, khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran, pengurusan maklumat murid serta penyampaian perkhidmatan sokongan di sekolah.

Susulan bengkel tersebut, guru digalakkan untuk terus menambah baik aplikasi yang dihasilkan berdasarkan keperluan pengguna dan konteks penggunaannya. Pada masa yang sama, penggunaan AI dalam pembangunan aplikasi perlu disertai proses semakan dan pengujian bagi memastikan fungsi serta maklumat yang dihasilkan memenuhi tujuan yang ditetapkan.
Melalui perkongsian kepakaran dan pelaksanaan aktiviti pemindahan ilmu seumpama ini, UTM dan SK Seri Saujana terus memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti sekolah, khususnya dalam memperluas pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengan perkembangan pendidikan digital.
Sumber: UTM NewsHub












