UUM ONLINE: Sintok, 19 Ogos 2026 – Kontinjen Universiti Utara Malaysia (UUM) kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk membawa pulang kejayaan pada Karnival Varsiti IMT-GT Ke-25 dan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026. Semangat juang ini diterjemahkan menerusi Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen yang berlangsung penuh meriah semalam.
Majlis penuh bermakna itu telah diadakan di Dewan Budi Siswa, Pusat Budaya dan Seni. Ia disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri dan turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan, pegawai sukan, serta barisan jurulatih.
Acara kemuncak menyaksikan gimik penyerahan bendera oleh Prof. Madya Dr. Bakti kepada Ketua Kontinjen Sukan, Kebudayaan dan Seminar bagi Karnival Varsiti IMT-GT dan penyerahan bendera kepada ketua pasukan yang terlibat dalam SUKIPT 2026. Penyerahan ini bukan sekadar adat istiadat, malah menjadi simbolik rasmi penyerahan amanah, mandat, serta sokongan moral seluruh warga universiti kepada para peserta yang bakal berjuang.

Dalam amanatnya, Prof. Madya Dr. Bakti mengingatkan para atlet agar sentiasa menjaga nama baik universiti, selain mempamerkan prestasi dan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung.

“Bawalah nama universiti dan negara dengan penuh berhemah. Kibarkan bendera UUM dengan megah di persada antarabangsa. Timbalah pengalaman merentasi sempadan serantau dan eratkan jaringan persahabatan bersama mahasiswa dari Indonesia dan Thailand,” tegas beliau.
Tambah beliau, Kontinjen UUM bakal menggalas cabaran kompetitif di dua pentas berprestij tersebut.
Bagi Karnival Varsiti IMT-GT Ke-25, acara bertaraf antarabangsa itu bakal menghimpunkan 12 universiti pilihan dari Indonesia, Malaysia, dan Thailand. Ia dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 28 Ogos ini di Universitas Negeri Padang (UNP), Sumatera Barat, Indonesia merangkumi acara sukan, kebudayaan, dan seminar.
“Karnival ini merapatkan hubungan pelajar dari tiga negara. Semoga ukhuwah ini dapat membina kerjasama dan persefahaman yang lebih erat dalam mewujudkan kedamaian sejagat,” katanya.

Di pentas IMT-GT, Kontinjen UUM akan bersaing dalam acara bola sepak, badminton, tenis, catur, petanque, dan bola tampar wanita. Selain itu, mereka turut menyertai Bengkel dan Persembahan Kebudayaan serta pembentangan isu semasa menerusi acara seminar yang pastinya menjanjikan pengalaman berharga.
Sementara itu, bagi temasya SUKIPT 2026 yang akan membuka tirainya pada 28 Ogos di Universiti Malaya (UM), UUM menghantar seramai 185 atlet dan pegawai. Temasya sukan IPT terbesar edisi ketujuh ini dijangka menghimpunkan lebih 6,000 atlet daripada 65 kontinjen seluruh Malaysia.

Kontinjen UUM akan mengambil bahagian dalam 15 acara sukan iaitu golf, tenis, petanque, badminton, ping pong, taekwondo, bola tampar, karate, olahraga, e-sukan, silat, pickleball, catur, tenpin boling, dan memanah.
Mengambil kira rekod cemerlang sebelum ini, UUM meletakkan sasaran 10 pingat emas bagi edisi SUKIPT kali ini menerusi sukan golf, karate, taekwondo, petanque, tenis, dan e-sport.
Majlis pelancaran rasmi perjuangan kontinjen ini diakhiri dengan lafaz ikrar yang diketuai oleh atlet UUM, Muhammad Qayyum Aman Kamaruzaman, atlet Petanque UUM disusuli dengan sesi bergambar beramai-ramai.
Berita oleh : Afiza Mohammad
Gambar oleh: Pusat Budaya & Seni












