JOHOR BAHRU, 6 Jun – Kolej Tun Razak (KTR), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Green Icon Week KTR 2026 sebagai platform untuk memperkukuh kesedaran dan penglibatan mahasiswa dalam amalan kelestarian. Majlis perasmian program yang berlangsung di kawasan sekitar K01 telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat. Turut hadir memeriahkan program ialah Pengarah Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar (BAPP), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman.
Program yang menghimpunkan pelbagai inisiatif berteraskan kelestarian ini turut mendapat kerjasama daripada UTM Landskap dalam menjayakan aktiviti penghijauan kampus. Kerjasama tersebut mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam menyokong usaha universiti ke arah mewujudkan persekitaran kampus yang lebih hijau dan mampan.

Antara pengisian utama Green Icon Week KTR 2026 ialah program Inisiatif Transformasi Minyak Terpakai: Waste into Value yang dianjurkan bersama FatHopes Energy Sdn. Bhd. Program ini berjaya mengumpulkan sebanyak 673.69 kilogram minyak masak terpakai hasil penyertaan staf UTM, orang awam dan pengusaha premis makanan di sekitar kampus. Melalui inisiatif ini, minyak terpakai yang dikumpulkan akan diproses menjadi biodiesel, sekali gus mengurangkan pencemaran alam sekitar dan menyokong penggunaan sumber tenaga yang lebih lestari.

Program Green Touch Day KTR pula memberi tumpuan kepada usaha penghijauan kawasan kolej melalui penanaman tujuh anak pokok cengal di sekitar K01. Aktiviti yang melibatkan seramai 30 orang mahasiswa ini turut disertai oleh Prof. Ts. Dr. Ali Selamat dan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman. Inisiatif ini dilaksanakan selaras dengan komitmen UTM dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 11 berkaitan Bandar dan Komuniti yang Mampan dan SDG 13 berkaitan Tindakan Iklim, di samping memperindah landskap dan meningkatkan kualiti persekitaran kolej.

Selain itu, program Kebun Komuniti KTR yang membawa konsep “1 Student, 1 Plant” telah memberi peluang kepada mahasiswa untuk menanam dan menjaga tanaman sendiri menggunakan kaedah pertanian bandar. Dengan sokongan Nature At Work Sdn. Bhd. melalui sumbangan baja dan benih tanaman, peserta didedahkan kepada kepentingan keselamatan makanan serta potensi penghasilan sumber makanan secara kecil-kecilan. Antara tanaman yang diusahakan termasuk sawi, kailan, tomato ceri, bendi dan cili padi.

Selain program-program tersebut, Green Icon Week KTR 2026 turut dimeriahkan dengan penganjuran KTR Green Challenge, iaitu pertandingan penghasilan video kreatif berdurasi satu minit yang memberi ruang kepada mahasiswa menyampaikan mesej berkaitan kelestarian secara inovatif melalui platform digital. Program ini turut disokong oleh KTR Thrift Corner, sebuah inisiatif jualan barangan terpakai yang masih berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan semula. Selain menggalakkan budaya guna semula dan mengurangkan pembaziran, program ini juga membuka peluang kepada mahasiswa menjana pendapatan sampingan melalui amalan ekonomi kitaran.
Secara keseluruhannya, Green Icon Week KTR 2026 membuktikan komitmen Kolej Tun Razak dalam membudayakan amalan lestari melalui pelbagai pendekatan yang merangkumi pendidikan, pemuliharaan alam sekitar, pengurusan sisa, keselamatan makanan serta penglibatan komuniti. Diharapkan penganjuran program ini dapat terus menyemai kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam kalangan mahasiswa untuk menjadi agen perubahan ke arah kampus yang lebih hijau, lestari dan berdaya tahan pada masa hadapan.
Sumber: UTM NewsHub











