Advertisement

UMT Salur Bantuan Segera kepada Tujuh Pelajar Mangsa Kebakaran

KUALA NERUS, 22 Okt – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyalurkan bantuan segera kepada tujuh pelajarnya yang terjejas dalam kebakaran sebuah kediaman pelajar pada Selasa lepas, dipercayai berpunca daripada letupan bank kuasa (powerbank) yang sedang dicas.

Dalam kejadian pada 4.50 petang itu, api dilaporkan merebak dengan pantas selepas menyambar katil dan bahan mudah terbakar berhampiran, sekali gus memusnahkan barangan peribadi serta kelengkapan pengajian mangsa.

Tujuh pelajar yang terjejas ialah Nurliyana Izzati Mohd Rizal, Hazirah Zamri, Khadijah Safiah Mohd Salleh, Nur Umairah Izzati M. Y. Nordin, Nur Auni Arifah Ahmad Saipulbahari, Nur Alisha Shazwani Mohamad Azrulzaman dan Nur Afiah Yazid.

Susulan kejadian itu, pengurusan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain, mengadakan pertemuan khas dengan mangsa bagi menyantuni mereka serta mengenal pasti keperluan mendesak.

Keutamaan universiti ketika ini adalah membantu pelajar menggantikan barangan penting yang musnah, termasuk dokumen pengenalan diri, kad bank, pasport, kad matrik serta peranti elektronik seperti komputer riba, tablet dan telefon bimbit bagi memastikan pengajian mereka dapat diteruskan tanpa gangguan.

Sebagai langkah awal menjaga kebajikan dan keselamatan mangsa, pihak kolej kediaman menempatkan kesemua pelajar terbabit secara sementara di Blok ANN sementara urusan penempatan baharu diselesaikan.

UMT turut mempertimbangkan bantuan pembayaran deposit rumah sewa sekiranya pelajar berkenaan memilih untuk menetap di luar kampus.

Bagi meringankan beban kewangan mangsa, HEPA menyalurkan Bantuan Bencana sebanyak RM500 kepada setiap pelajar yang terjejas.

Terdahulu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah menyalurkan bantuan tunai sebanyak RM700, manakala pihak kolej kediaman menyediakan kupon makanan bernilai RM350 bagi setiap pelajar.

Mangsa turut dipertemukan dengan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi membincangkan kemungkinan mendapatkan bantuan susulan, tertakluk kepada kelayakan masing-masing.

UMT berharap kerjasama semua pihak berkaitan dapat membantu mempercepat urusan dokumentasi dan penyaluran bantuan susulan, sekali gus membolehkan pelajar terbabit meneruskan pengajian dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.

Total Views: 2