Advertisement

UMT Terima Sumbangan RM315,000.00 daripada MAIDAM untuk Baucar Makanan Mahasiswa

KUALA NERUS, 22 OKT – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima sumbangan dana berjumlah RM315,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi penyediaan Baucar Makanan Dapo MAIDAM@UMT untuk membantu mahasiswa yang memerlukan, khususnya golongan asnaf.

Majlis penyerahan cek cura itu disempurnakan oleh Penolong Pegawai MAIDAM Daerah Kuala Nerus, Encik Badrul Hisham Ibrahim kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain.

Sumbangan berkenaan merupakan kesinambungan inisiatif kebajikan mahasiswa yang dilaksanakan sejak 2023, dengan jumlah keseluruhan bantuan disalurkan kepada UMT sehingga 2026 mencecah RM1,017,940.

Inisiatif itu telah memberi manfaat kepada 2,959 mahasiswa UMT, selain menyokong kelangsungan perniagaan 14 pengusaha kafeteria di kampus menerusi penyediaan makanan kepada penerima yang layak.

Mohd Izani berkata, sumbangan itu mencerminkan kerjasama strategik antara MAIDAM dan UMT dalam memperkukuh kebajikan mahasiswa, terutama mereka yang memerlukan sokongan bagi memenuhi keperluan asas.

Menurutnya, bantuan makanan bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kewangan, malah membolehkan mahasiswa memberi perhatian lebih kepada pengajian dan pencapaian akademik.

“UMT amat menghargai keprihatinan MAIDAM yang terus menyokong kebajikan mahasiswa. Inisiatif seperti ini penting bagi memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada mahasiswa untuk mencapai potensi terbaik mereka.

“Kami juga berbangga apabila bantuan ini turut dikaitkan dengan pencapaian membanggakan penerima, sekali gus membuktikan bahawa sokongan kebajikan yang bersasar mampu membantu mahasiswa meneruskan perjalanan akademik mereka,” katanya.

Keberkesanan inisiatif itu turut dilihat menerusi pencapaian penerima pada Istiadat Konvokesyen UMT ke-24 apabila tiga mahasiswa penerima bantuan Dapo MAIDAM@UMT berjaya memperoleh Ijazah Kelas Pertama, manakala seorang lagi menerima Anugerah Khas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sementara itu, Muhammad Ariff Haikal bin Ibrahim, pelajar Sarjana Muda Sains Keselamatan dan Kesihatan dengan Teknologi Persekitaran berkata, kemudahan baucar makanan itu banyak membantu mengurangkan perbelanjaan harian, sekali gus membolehkannya memberi lebih tumpuan kepada kuliah dan tugasan akademik.

“Bantuan ini sangat bermakna kerana dapat mengurangkan beban perbelanjaan makanan harian. Wang yang dapat dijimatkan boleh digunakan untuk keperluan pengajian yang lain.

“Saya berharap program ini dapat diteruskan supaya lebih ramai mahasiswa yang memerlukan mendapat manfaat dan berpeluang menamatkan pengajian dengan jayanya,” katanya.

Program Dapo MAIDAM@UMT merupakan antara usaha berterusan universiti bersama MAIDAM dalam memperkukuh jaringan sokongan kebajikan mahasiswa, di samping membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan inklusif.

Total Views: 12