Advertisement

UMPSA Gerak Misi Sukarelawan Bantuan Pascabanjir Ke Pulau Pangkor

Oleh : Mohamad Nasrul Naim bin Romainu

Paya Vesar, 19 Oktober – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini menggerakkan Misi Sukarelawan Bantuan Pascabanjir bagi membantu meringankan beban komuniti yang terjejas akibat bencana banjir di Pulau Pangkor, Perak.

Misi kemanusiaan ini merupakan antara usaha UMPSA dalam memperkukuh peranan universiti terhadap masyarakat menerusi penglibatan sukarelawan dalam aktiviti kebajikan dan pemulihan komuniti yang terkesan akibat bencana.

Pasukan sukarelawan UMPSA mula bertolak secara berperingkat dari Kampus Pekan pada jam 11.00 pagi, manakala kumpulan dari Kampus Paya Besar bertolak pada jam 12.15 tengah hari.

Kesemua petugas dan sukarelawan dijadualkan tiba di Lumut menjelang jam 5.00 petang sebelum meneruskan perjalanan dengan menyeberang ke Pulau Pangkor sebagai lokasi pelaksanaan misi bantuan.

Misi bantuan kali ini melibatkan seramai 30 orang sukarelawan yang terdiri daripada gabungan mahasiswa serta pegawai pengiring UMPSA yang bersama-sama menyumbang tenaga dan kepakaran dalam menjayakan aktiviti pemulihan pascabanjir.

Selain bantuan tenaga kerja, pasukan UMPSA turut membawa sumbangan kebajikan berupa 50 set makanan sedia dimakan atau Retort Ready-To-Eat Meals hasil inovasi UMPSA untuk diagihkan kepada komuniti yang terjejas.

Sepanjang misi berlangsung, pasukan sukarelawan akan memberi tumpuan kepada aktiviti pembersihan kawasan awam, kerja-kerja gotong-royong serta pelbagai aktiviti pemulihan pascabanjir mengikut keperluan semasa penduduk setempat.

Penglibatan mahasiswa dan pegawai UMPSA dalam misi ini turut mencerminkan komitmen universiti dalam membudayakan nilai kesukarelawanan, keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universiti, khususnya ketika masyarakat berdepan situasi bencana.

Usaha ini diharap dapat membantu mempercepatkan proses pemulihan komuniti di Pulau Pangkor, selain memberikan sokongan moral dan fizikal kepada penduduk yang terkesan agar dapat kembali menjalani kehidupan harian dengan lebih baik.

Kredit Foto : Puan Siti Nurliana binti Kamarulzaman

Total Views: 29