Berita oleh Muhammad Aiman bin Mohd Amin Fauzan (JOC Media HEP)
Gambar oleh Media HEP
SINTOK, 20 Oktober – Seramai 92 calon tampil menawarkan diri merebut kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi sesi 2026/2027, sekali gus menandakan bermulanya Pilihan Raya Kampus (PRK) sebagai medan demokrasi mahasiswa dalam melahirkan barisan kepimpinan yang berwibawa, berintegriti dan berjiwa besar.
Majlis perasmian yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Pusat Penginapan Pelajar telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Bakti bin Hasan Basri, yang menegaskan bahawa program tersebut bukan sekadar acara tahunan universiti, sebaliknya menjadi titik permulaan penting dalam menentukan barisan kepimpinan mahasiswa yang berwibawa, berintegriti dan mampu memperjuangkan suara, aspirasi serta kebajikan ribuan mahasiswa UUM.

Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Madya Dr. Bakti menegaskan bahawa kesediaan menawarkan diri sebagai calon bukan sekadar untuk merebut kemenangan, sebaliknya mencerminkan keikhlasan untuk berkhidmat, keberanian menggalas tanggungjawab serta komitmen dalam memperjuangkan suara, aspirasi dan kebajikan mahasiswa.
Beliau menekankan bahawa kedudukan sebagai calon bukanlah satu keistimewaan tetapi satu amanah besar yang memerlukan keberanian, kejujuran, dan kebijaksanaan, sambil menambah bahawa kepimpinan adalah mengenai kewibawaan menjadi saluran suara yang diwakili dan bukannya untuk mengejar pangkat atau gelaran.


Mengulas mengenai tempoh berkempen, beliau menggesa para calon agar bersikap profesional dan beradab serta mengarahkan fokus kempen kepada idea, isu, dan tawaran pembangunan menerusi manifesto yang realistik, bukannya janji manis yang tidak mampu ditunaikan. Beliau turut mengingatkan semua pihak agar mengelakkan sebarang bentuk provokasi, fitnah, mahupun serangan peribadi.

Bagi warga mahasiswa selaku pengundi, beliau menegaskan bahawa demokrasi hanya hidup apabila pengundinya aktif dan menyeru agar penilaian terhadap calon dibuat berasaskan kemampuan peribadi, visi, dan keperluan komuniti, bukannya sekadar populariti.
Sebagai panduan asas kepimpinan, beliau mengajak seluruh warga UUM menghayati firman Allah SWT dalam Surah Al-Qasas ayat 26 mengenai keutamaan melantik pemimpin yang mempunyai sifat kuat dan amanah.

Beliau menegaskan bahawa kekuatan tanpa amanah tidak memberi manfaat, dan amanah tanpa kekuatan tidak membawa keberhasilan, sambil menyuarakan harapan agar PRK UUM sesi 26/27 ini dapat dijadikan sebagai pilihan raya kampus yang paling harmoni, paling profesional, dan paling berintegriti.












