Oleh : Lt Kol Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli bin Hj Ali Khan dan Lt M Muhamad Hanafi bin Sarwoedy
18 Oktober 2026 (Ahad) – Bertempat di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru, telah berlangsung Majlis Makan Malam Rejimental (MMR) Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersempena Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam Ke-44 Tahun 2026.
Majlis penuh istiadat ini diserikan dengan kehadiran tetamu utama, Naib Canselor UTM merangkap Komandan PALAPES UTM, Kolonel (K) Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim bersama isteri. Majlis ini turut hadir sama, Yang Berbahagia, Dato’ Dr. Mohd Sharil bin Abdullah, Pendaftar UTM bersama isteri, dan barisan kepimpinan pengurusan universiti termasuk para Timbalan Naib Canselor (TNC), Dekan dan Timbalan Dekan Fakulti. Turut hadir sama ialah Timbalan Komandan PALAPES UTM, Leftenan Kolonel Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli bin Haji Ali Khan dan isteri; Pegawai Memerintah KD Sri Medini, Leftenan Komander Mohd Baharuddin bin Samsudin PSSTLDM; Ketua Jurulatih PALAPES UTM, Mejar Mohd Fadlan bin Yusoff dan isteri; Yang Dipertua Majlis MMR PALAPES UTM 2026, Leftenan Muda Muhammad Akmal bin Azhar PSSTLDM; serta barisan tetamu kehormat, pegawai latihan dan warga PALAPES UTM.

Majlis ini diadakan bagi meraikan kejayaan Pegawai Muda PALAPES Darat dan Laut UTM yang telah ditauliahkan pada 12 September 2026 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Pentauliahan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap komitmen, disiplin dan ketahanan diri para pegawai muda dalam mengimbangi tuntutan akademik dengan latihan ketenteraan. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan diri dan keluarga, malah turut menjadi kebanggaan seluruh warga UTM.
Dalam ucapan Komandan PALAPES UTM, beliau menegaskan bahawa latihan ketenteraan bukan sekadar membentuk disiplin dan ketahanan diri, malah menjadi medan untuk membina kepimpinan, tanggungjawab serta semangat kerja berpasukan. Nilai-nilai tersebut perlu sentiasa berpaksikan adab, integrity, Amanah dan rasa hormat terhadap sesama insan.

Beliau turut menekankan bahawa pembangunan pegawai muda PALAPES UTM selari dengan aspirasi UTM ASCEND 2030, khususnya teras Global Talent, yang memberi penekanan terhadap usaha melahirkan bakat holistik, berilmu, berdaya saing dan mempunyai sahsiah terpuji serta kompetensi global. Dalam konteks ini, PALAPES UTM merupakan sebahagian daripada ekosistem pendidikan universiti yang sentiasa membantu membentuk mahasiswa berdisiplin, berdaya tahan dan mempunyai keupayaan kepimpinan untuk menghadapi cabaran sebenar.
Sehubungan itu, para pegawai muda diingatkan bahawa pentauliahan dan pangkat yang disandang bukan sekadar pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian, tetapi turut membawa amanah serta tanggungjawab yang lebih besar. Kepimpinan sebenar tidak hanya diukur melalui pangkat, sebaliknya melalui kebijaksanaan membuat keputusan, keberanian mempertahankan integriti dan kesediaan memikul tanggungjawab. Para pegawai muda diharap dapat terus mengamalkan nilai-nilai tersebut sebagai mahasiswa, pegawai muda dan pemimpin masyarakat pada masa hadapan.

Dalam kesempatan yang sama, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan kepimpinan dan jurulatih PALAPES UTM atas komitmen serta dedikasi dalam membimbing para pegawai muda sehingga berjaya ditauliahkan. Penghargaan turut diberikan kepada ibu bapa dan keluarga atas segala pengorbanan, doa dan sokongan yang menjadi antara kekuatan utama di sebalik kejayaan mereka.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan seni budaya, sesi bergambar dan jamuan makan malam yang mengeratkan hubungan silaturahim serta semangat kekeluargaan dalam kalangan warga PALAPES UTM, pegawai latihan, alumni dan tetamu jemputan.

Semoga kejayaan pentauliahan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan para pegawai muda dalam bidang akademik, ketenteraan dan kepimpinan. Seluruh Pegawai Muda PALAPES Darat dan Laut UTM diharap terus membawa nama baik universiti dengan penuh integriti dan jati diri serta berbakti kepada masyarakat, bangsa dan negara.
Artikel ini diterbitkan pertama kali di FB HEPA UTM













