Advertisement

Sumbangan KPT Perkasa Kebajikan Mahasiswa UMPSA Melalui Inisiatif Dapur Siswa Madani

Oleh : Mohamad Nasrul Naim bin Romainu

Pekan, 21 Oktober – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa menerusi peluncuran Dapur Siswa MADANI Lounge dan Siswa Mall yang disempurnakan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.

KPT menyalurkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM455,384.93 yang merangkumi RM396,589.79 bagi pelaksanaan Dapur Siswa MADANI dan RM58,795.14 bagi inisiatif Kampus Pantri melalui bantuan makanan untuk mahasiswa.

Sumbangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan KPT dalam memperkukuh keterjaminan makanan dan kesejahteraan mahasiswa melalui penyediaan kemudahan serta sokongan terhadap keperluan asas sepanjang tempoh pengajian.

Inisiatif kebajikan ini turut mendapat sokongan daripada Yayasan UMPSA, UMPSA Advanced, UMPSA Holding, Eco Breeze Technologies (M) Sdn. Bhd., Bestari Bina Ventures (M) Sdn. Bhd. dan Isuzu HICOM Malaysia Sdn. Bhd. menerusi sumbangan bagi pelaksanaan Kampus Pantri, Siswa Mall serta Jambatan Iman.

Dengan sokongan pelbagai pihak, jumlah keseluruhan sumbangan bagi inisiatif kebajikan mahasiswa ini mencecah RM590,384.93, sekali gus memperlihatkan semangat kerjasama antara kementerian, universiti, yayasan dan rakan industri dalam menyokong keperluan mahasiswa.

Pelaksanaan Dapur Siswa MADANI Lounge dan Siswa Mall diharap dapat menyediakan persekitaran kampus yang lebih kondusif serta menyokong keperluan harian mahasiswa, khususnya dalam aspek kebajikan, akses kepada makanan dan kesejahteraan kehidupan di universiti.

Usaha ini juga selaras dengan aspirasi UMPSA untuk mewujudkan ekosistem kampus yang prihatin, inklusif dan mesra mahasiswa melalui pendekatan kebajikan yang menyeluruh serta penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.

Kerjasama strategik antara KPT, UMPSA dan rakan industri ini diharap dapat diteruskan bagi memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa diberi keutamaan, di samping menyokong pembangunan mahasiswa secara holistik dan melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik, sahsiah serta kesejahteraan diri.

Total Views: 0