Advertisement

Bimbingan UTM bantu ECOAIR murid Orang Asli raih tempat kedua dan Anugerah Khas Juri STEM Stars 2026

Oleh : Prof. Madya Ts. Dr. Roslina Mohammad, Dr. Hayati @ Habibah Abdul Talib dan Ts. Rafizah Musa

KUALA LUMPUR, 21 Sept. – Inovasi ECOAIR: Sistem Udara Bersih & Selamat Kelas Pintar hasil kreativiti murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tampoi (A), Dengkil meraih tempat kedua kategori Darjah 6 dalam STEM Stars 2026 Peringkat Negeri Selangor pada 21 September 2026. Selain pencapaian tersebut, inovasi berkenaan turut menerima Anugerah Khas Juri (Special Award), sekali gus melayakkan pasukan SK Bukit Tampoi (A) mara ke peringkat akhir STEM Stars 2026 Peringkat Kebangsaan.

Pencapaian itu menjadi kesinambungan kepada perjalanan pembangunan ECOAIR yang dilalui murid bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bermula daripada pencetusan idea dan pembangunan prototaip, sebelum melalui proses pemurnian projek serta persediaan untuk menyertai pertandingan.

Murid Orang Asli Darjah 4, 5 dan 6 SK Bukit Tampoi (A) bergambar bersama guru, STEM Ambassadors UTM dan STEM Experts UTM selepas menyertai STEM Stars 2026 Peringkat Negeri Selangor

ECOAIR mengetengahkan penyelesaian terhadap isu kualiti udara dalam bilik darjah, khususnya risiko gas seperti butana, propana dan karbon dioksida yang sukar dikesan dengan mata kasar. Inovasi tersebut menggunakan sensor MQ-135 dan ESP32 serta mengintegrasikan Diod Pemancar Cahaya Merah, Hijau, Biru (LED RGB), buzzer dan kipas ekzos automatik sebagai mekanisme amaran dan tindak balas apabila tahap udara dikesan berada pada keadaan berbahaya.

Murid SK Bukit Tampoi (A) menerangkan fungsi dan penyelesaian ECOAIR kepada barisan juri dalam sesi penilaian peringkat negeri

Projek berkenaan dibangunkan oleh tujuh murid Darjah 6 SK Bukit Tampoi (A), iaitu Muhammad Aniq Haziq Salehudin, Mimi Aira anak Diwa, Lili Elisha Esroy Lee, Farieysha Najwa Azeri, Nur Fisara Husna Muhammad Haikal, Gloria Suzana Sangka dan Mohd Irfan Edika, dengan bimbingan STEM Ambassador UTM, Muhammad Aliff Aiman Abdul Halim.

Menerusi pembangunan ECOAIR, murid bukan sahaja didedahkan kepada proses menghasilkan prototaip, malah dibimbing untuk memperkemas penyelesaian, memahami fungsi komponen dan menerangkan idea inovasi kepada pihak lain, termasuk ketika sesi penilaian pertandingan.

Murid SK Bukit Tampoi (A) mengetengahkan kreativiti dan penyelesaian masalah melalui inovasi STEM dalam STEM Stars 2026 Peringkat Negeri Selangor

Penglibatan UTM dalam STEM Stars diterajui Prof. Madya Ts. Dr. Roslina Mohammad, Ketua Projek yang juga Ketua Kumpulan Penyelidikan Keselamatan dan Kejuruteraan Kenderaan (VES), Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), UTM Kuala Lumpur.

Pasukan STEM Experts turut dianggotai Dr. Mohamed Azlan Suhot, Dr. Hayati @ Habibah Abdul Talib, Ts. Rafizah Musa, Dr. Nur Ayuni Shamsul Bahri dan Dr. Zatil Izzah Ahmad Tarmizi.

Bimbingan yang diberikan secara berperingkat menyokong proses pembangunan projek daripada aspek teknikal, pemurnian penyelesaian serta kemahiran murid dalam menyampaikan dan mempertahankan idea inovasi.

Murid SK Bukit Tampoi (A) bersama inovasi ECOAIR yang dibangunkan untuk STEM Stars 2026 Peringkat Negeri Selangor

Dari aspek teknikal, ECOAIR mengintegrasikan elemen sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui aplikasi sifat gas, teknologi sensor Internet Kebendaan (IoT), reka bentuk litar geganti (relay) dan penggunaan nilai ambang PPM. Pendekatan tersebut membolehkan murid menghubungkan pengetahuan yang dipelajari dengan penyelesaian terhadap masalah yang dikenal pasti dalam persekitaran bilik darjah.

Projek itu turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3, Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, SDG 4, Pendidikan Berkualiti serta SDG 11, Komuniti dan Bandar Mampan.

Kejayaan meraih tempat kedua Peringkat Negeri Selangor, di samping menerima Anugerah Khas Juri, memperlihatkan potensi murid Orang Asli untuk meneroka bidang STEM melalui peluang, pendedahan dan bimbingan yang berterusan.

Pencapaian tersebut juga meneruskan kerjasama antara UTM, SK Bukit Tampoi (A) dan S P Setia Foundation dalam memperkukuh pengalaman pembelajaran STEM dalam kalangan murid.

Murid dan pasukan pembimbing meraikan kejayaan SK Bukit Tampoi (A) meraih tempat kedua serta Anugerah Khas Juri dalam STEM Stars 2026 Peringkat Negeri Selangor

Daripada idea yang bermula di bilik darjah, perjalanan ECOAIR kini memasuki fasa seterusnya apabila pasukan SK Bukit Tampoi (A) berjaya melangkah ke peringkat akhir STEM Stars 2026 Peringkat Kebangsaan.

Pencapaian itu membuka ruang kepada murid untuk membawa inovasi yang dibangunkan ke pentas yang lebih luas, di samping mengetengahkan pengalaman dan potensi murid Orang Asli dalam pembelajaran serta inovasi STEM.

Sumber: UTM NewsHub

Total Views: 3