Advertisement

Heartbeat Heroes: UiTM Perkasa Kemahiran CPR dan Kesedaran Menyelamatkan Nyawa

Oleh: Hairul Reazuan Asmayadi

PUNCAK ALAM, 16 Mei – Program Heartbeat Heroes, sebuah inisiatif Heartsafe Campus hasil kolaborasi antara Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Perubatan dan Hospital Al-Sultan Abdullah terus diperkasakan bagi tahun kedua dengan sokongan padu pihak pengurusan kampus Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor.

Gambar 1: Rektor UiTM Cawangan Selangor bersama pegawai HEP dan HASA dalam pelancaran AED

Inisiatif yang memberi fokus kepada keselamatan kesihatan warga kampus itu dilaksanakan menerusi pemasangan Automated External Defibrillator (AED) di beberapa lokasi strategik kampus hasil sumbangan utama Unit Kesihatan.

Sebanyak 10 unit AED telah ditempatkan di Kampus Puncak Alam, manakala masing-masing satu unit ditempatkan di Kampus Puncak Perdana dan Kampus Sungai Buloh bagi memastikan akses bantuan kecemasan dapat diperoleh dengan lebih pantas dan efektif.

Gambar 2: Demonstrasi yang disampaikan oleh fasilitator

Lebih membanggakan, UiTM Cawangan Selangor turut mencipta sejarah sebagai kampus pertama yang meletakkan AED di lokasi strategik tumpuan warga kampus sebagai langkah proaktif memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan melibatkan cardiac arrest.

Program Heartbeat Heroes tahun ini menyasarkan penyertaan lebih 2,000 peserta menerusi dua siri penganjuran yang memberi penekanan terhadap kepentingan kemahiran Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) serta penggunaan AED dalam situasi kecemasan.

Pelaksanaan program turut mendapat kerjasama aktif daripada Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Zamrud dan Baiduri yang membantu memastikan kelancaran penganjuran serta meningkatkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kesedaran kesihatan dan keselamatan kampus.

Melalui program ini, para peserta didedahkan dengan latihan asas bantuan kecemasan termasuk teknik CPR yang betul, kaedah penggunaan AED serta tindakan pantas yang perlu diambil ketika berdepan situasi kecemasan melibatkan serangan jantung secara tiba-tiba.

Gambar 3: Peserta kursus melakukan latihan secara praktikal

Pendekatan berbentuk pendidikan dan latihan praktikal ini dilihat mampu meningkatkan kesedaran warga kampus tentang kepentingan tindakan awal dalam menyelamatkan nyawa sebelum bantuan perubatan profesional tiba di lokasi kejadian.

Rektor Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor, Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman berkata program tersebut mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh budaya kampus yang selamat, prihatin dan berdaya siaga.

“Heartbeat Heroes bukan sekadar program latihan kesihatan, tetapi merupakan satu inisiatif penting dalam membentuk budaya kampus yang lebih selamat, prihatin dan bersedia menghadapi situasi kecemasan. Pengetahuan berkaitan CPR dan penggunaan AED merupakan kemahiran asas yang sangat bernilai dan mampu menjadi tindakan awal dalam menyelamatkan nyawa,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa program tersebut selaras dengan komitmen UiTM Cawangan Selangor dalam memperkukuh agenda kesejahteraan warga kampus serta melahirkan mahasiswa holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai nilai kemanusiaan, keprihatinan sosial dan kesiapsiagaan komuniti yang tinggi.

Selain memperkukuh agenda kesejahteraan kampus, program ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya dalam aspek kesihatan yang baik, pendidikan berkualiti dan pembentukan komuniti yang selamat serta mampan.

Penganjuran Heartbeat Heroes diharap dapat diteruskan secara berterusan sebagai platform pendidikan kesihatan yang mampu memberi impak positif kepada seluruh warga UiTM serta memperkukuh agenda Heartsafe Campus di peringkat universiti.

Total Views: 39