UniSZA Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) telah menyertai Bengkel Pelan Strategik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 2026–2030 yang berlangsung pada 23 hingga 25 Julai 2026 di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen UHSB sebagai anak syarikat milik penuh UniSZA dalam menyokong agenda transformasi universiti ke arah kecemerlangan, kelestarian dan daya saing yang mampan.


Dalam sesi pembentangan, Ketua Pegawai Eksekutif UHSB telah membentangkan Pelan Strategik UHSB, yang menggariskan hala tuju syarikat dalam memperkukuh kedudukannya sebagai entiti komersial universiti. Pelan ini memberi penekanan kepada usaha memperluaskan sumber pendapatan, meningkatkan kecekapan operasi, memperkasa jaringan strategik serta memperkukuh kemampuan kewangan syarikat bagi menyumbang secara signifikan kepada penjanaan hasil dan kelestarian kewangan UniSZA.
Bengkel ini turut menjadi platform strategik untuk menyelaraskan aspirasi, matlamat dan inisiatif antara universiti dan anak-anak syarikat, sekali gus memastikan setiap perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan secara bersepadu, berimpak tinggi dan memberi nilai tambah kepada pembangunan institusi.
Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UniSZA, yang menekankan kepentingan perancangan strategik sebagai pemacu utama kepada kecemerlangan organisasi dan kemampanan institusi.
UHSB komited untuk terus menjadi rakan strategik universiti dalam merealisasikan aspirasi UniSZA melalui pelaksanaan inisiatif yang berorientasikan prestasi, inovasi dan nilai, demi memastikan kelestarian kewangan universiti serta kecemerlangan organisasi dapat dicapai secara berterusan.












