Advertisement

SOE UUM Sambut Delegasi Thaksin University, Perkukuh Kerjasama Akademik universiti ASEAN

SINTOK – Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan jaringan akademik serantau apabila menerima kunjungan delegasi daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,Thaksin University, Thailand yang terdiri daripada dua pensyarah dan 60 pelajar.

Kunjungan akademik tersebut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif “Building Collaboration with ASEAN Universities: A Case Study of the Social Studies Curriculum Exchange between Thaksin University and Universities in the ASEAN Region”, yang memberi penekanan kepada pertukaran pengetahuan, pengalaman pendidikan serta pembangunan jaringan antara institusi pendidikan tinggi dalam rantau ASEAN.

Program berkenaan turut menyediakan ruang kepada kedua-dua institusi untuk berkongsi pengalaman dan perspektif dalam bidang pendidikan, khususnya berkaitan pendidikan guru, pembangunan kurikulum, pedagogi, amalan pengajaran dan pembelajaran, inovasi pendidikan serta pengamalan tanggungjawab sosial korporat. Aspek-aspek tersebut merupakan antara bidang kerjasama yang dikenal pasti dalam perancangan awal lawatan akademik berkenaan.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh wakil Dekan SOE, Dr. Muhammad Asyraf Abdul Rahman yang mengalu-alukan kehadiran delegasi Thaksin University ke UUM.

Dalam sesi tersebut, beliau turut berkongsi mengenai ekosistem pembelajaran di UUM serta struktur program pengajian yang ditawarkan oleh SOE, selain memperkenalkan peranan Pusat Pengajian Pendidikan dalam memperkembangkan bakat bakal pendidik dalam memenuhi tuntutan global hari ini selain kelestarian pengajian pendidikan di peringkat universiti.

Perkongsian berkenaan memberi peluang kepada delegasi untuk memperoleh gambaran yang lebih menyeluruh tentang pendekatan SOE dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyokong pembangunan akademik, profesional dan pengalaman pembelajaran pelajar, selain membuka ruang keterlibatan pelajar Thaksin University di peringkat pascasiswazah kelak.

Program kemudiannya diteruskan dengan pembentangan oleh beberapa orang pelajar Thaksin University, yang memperkenalkan latar belakang kampus mereka serta berkongsi beberapa projek kursus yang telah dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program pengajian sosial mereka.

Sesi tersebut mewujudkan ruang interaksi akademik yang lebih terbuka apabila para peserta dapat bertukar pandangan mengenai pengalaman pembelajaran, pelaksanaan projek akademik serta konteks pendidikan di Malaysia dan Thailand.

Pendekatan ini selari dengan hasrat program untuk mewujudkan pertukaran akademik yang membolehkan peserta memahami konteks pendidikan di kedua-dua negara, berkongsi perspektif serta mengenal pasti potensi kerjasama pada masa hadapan.

Kunjungan ini juga mencerminkan komitmen SOE UUM dalam memperluaskan pengantarabangsaan pendidikan melalui penglibatan akademik yang melibatkan bukan sahaja ahli akademik, malah pelajar sebagai ejen perubahan dalam proses perkongsian ilmu dan pengalaman silang budaya.

Melalui hubungan yang terjalin, kedua-dua institusi berpotensi meneroka kerjasama yang lebih luas termasuk dalam bidang penyelidikan, penerbitan, mobiliti akademik, program bersama serta aktiviti pembangunan pelajar. Potensi kerjasama tersebut turut digariskan sebagai antara hala tuju hubungan akademik antara SOE dan Thaksin University.

Program seumpama ini diharapkan dapat memperkayakan pengalaman pembelajaran antarabangsa pelajar, memperkukuhkan hubungan profesional dan kesarjanaan antara warga akademik serta menyumbang kepada pembangunan jaringan pendidikan tinggi yang lebih mampan dalam komuniti ASEAN.

Berita oleh: Dr. Muhammad Asyraf Abdul Rahman dan Prof. Madya Dr. Mat Rahimi Yusof
Gambar oleh: Dr. Mohd Muhaimi Abdul Rahman

Total Views: 8