SINTOK – Seramai 160 orang Jawatankuasa Pelaksana Pesta Konvokesyen (PESKON) Universiti Utara Malaysia (UUM) kini bersiap sedia bagi memastikan kemeriahan Majlis Konvokesyen UUM Ke-39 dapat dirasai oleh para graduan, keluarga dan seluruh warga kampus.
Sebagai persediaan awal, Program Induksi Jawatankuasa PESKON Ke-39 telah berlangsung pada 25 dan 26 September dengan memberi fokus kepada tatacara pengurusan PESKON, perancangan aktiviti serta penyelarasan gerak kerja setiap jabatan.

Program itu turut menampilkan sesi perkongsian pengalaman daripada mantan pegawai dan alumni yang pernah terlibat dalam pengurusan PESKON bagi memberi panduan kepada barisan jawatankuasa dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Majlis penutup induksi telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri.

Dalam ucapannya, beliau berharap PESKON mampu menjadi pelengkap kepada kemeriahan konvokesyen sekali gus mencipta pengalaman dan kenangan manis buat para graduan serta keluarga.
“Jika minggu lalu kita bertungkus-lumus membuat persiapan dan menyambut kedatangan pelajar baharu, kini kita bakal menyajikan pula pengalaman serta kenangan manis buat para graduan dan keluarga menerusi penganjuran PESKON,” katanya.
Menurut beliau, penglibatan mahasiswa dalam pengurusan acara berskala besar seperti PESKON turut menjadi medan pembelajaran yang mampu meningkatkan kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan dan pengurusan acara.


Majlis turut menyaksikan bacaan ikrar Jawatankuasa Pelaksana PESKON Ke-39 yang diketuai oleh Pengarah PESKON, Saudara Muhammad Fariqh Ikhwan.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Encik Muzammil Mahmud dan Ketua Bahagian Kepimpinan dan Pemerkasaan Mahasiswa, Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT), Muhammad Danial Khaleq.
Berita dan gambar oleh: Muhammad Hafizal Faiz bin Suhaime












