Advertisement

MAKDA UUM GILAP KEMAHIRAN KEPIMPINAN PELAJAR SK KAMPONG JAWA

SINTOK: Mahasiswa Anak Kedah (MAKDA), Universiti Utara Malaysia (UUM) menyantuni komuniti Kedah menerusi penganjuran Leadership X-Tour SK Kampong Jawa (SKKJ) yang memberi fokus kepada pembangunan potensi dan kepimpinan dalam kalangan pelajar.

Program selama tiga hari dua malam itu diisi dengan pelbagai aktiviti dalam kumpulan yang dirangka bagi membina keyakinan diri, semangat kerja berpasukan, kemahiran komunikasi serta menyemai ciri-ciri kepimpinan dalam diri peserta.

Program berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan hasrat agar Leadership X-Tour tidak terhenti sebagai program sekali sahaja, sebaliknya diteruskan secara berkala dengan memberi fokus kepada pelajar yang dikenal pasti mempunyai potensi untuk terus digilap dan dibimbing bagi mencorakkan bakat serta kebolehan mereka ke arah yang tepat.

Sementara itu, Guru Besar SK Kampong Jawa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada UUM menerusi MAKDA kerana memberi peluang kepada murid sekolah berkenaan untuk menyertai Leadership X-Tour SKKJ.

Penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen mahasiswa UUM, khususnya anak Kedah, untuk menyumbang kembali kepada komuniti negeri ini melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan pembangunan generasi muda.

Berita dan gambar oleh: Muhammad Hafizal Faiz bin Suhaime

Total Views: 66