Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien
SHAH ALAM, 18 SEPTEMBER 2026 – Pengurusan tertinggi Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengadakan kunjungan ke kediaman bakal pelajar UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka di Pangsapuri Pesona, Jalan Pauh Jaya menerusi Program Ziarah Kasih 2.0 UiTM Cawangan Pahang (UCPh).
Kunjungan yang diadakan selepas solat Jumaat itu diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, bersama barisan pengurusan kanan Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang, Pulau Pinang dan juga Negeri Sembilan.
Turut hadir ialah Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Pahang, Dr. Mohd Kamal Azman bin Jusoh, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Pulau Pinang , Dr. Ahmad Asri Bin Abd Samat dan juga Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Encik Mohd Zulhilmi bin Mohd Yunus.

Nur Aina Damya binti Mohd Azrol akan memulakan pengajian dalam program Diploma Pengurusan Teknologi Pejabat di Kampus Jengka
Nur Aina merupakan salah seorang daripada tiga beradik yang masih belajar. Bapanya menjadi penyumbang utama pendapatan keluarga manakala ibunya merupakan suri rumah.
Pelaksanaan Ziarah Kasih 2.0 merupakan sebahagian daripada usaha UiTM memberi perhatian terhadap kebajikan bakal mahasiswa serta membantu memastikan persediaan mereka untuk memasuki alam pengajian tinggi berjalan dengan baik.

Inisiatif berkenaan turut mendukung usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi dan memastikan kekangan sosioekonomi tidak menjadi penghalang kepada pelajar untuk meneruskan pengajian.












