oleh : Ivan Low Wei Jien
PERAK, 15 September 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta pencapaian membanggakan di pentas aktivisme belia pada peringkat serantau apabila pasukan UPSI Volunova A berjaya merangkul Anugerah Poster Terbaik dalam Persidangan Serantau Aktivisme Pelajar (RECONSA) Kali Ke-10 Tahun 2026 (The 10th Regional Conference on Student Activism, RECONSA 2026) yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).

RECONSA 2026 yang berlangsung dari 11 hingga 15 September 2026 mengetengahkan tema “Membajai Kesukarelawanan yang Mampan: Evolusi Aktivisme Belia”, dengan subtema berteraskan SDG 7, SDG 11 dan SDG 13. Persidangan ini menghimpunkan mahasiswa dan aktivis belia daripada pelbagai institusi serta negara serantau termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina, sekali gus menyediakan wadah pertukaran idea, inovasi dan amalan terbaik dalam bidang aktivisme mahasiswa dan kesukarelawanan.
UPSI diwakili oleh dua pasukan, iaitu UPSI Volunova A yang dianggotai oleh Ivan Low Wei Jien dan Rasyidah binti Mohamed Farook, serta UPSI Volunova B yang dianggotai oleh Muhammad Iqmal bin Yazid, Nurfatin Syazwani binti Halimi dan Muhammad Afiq bin Shahfri.

UPSI Volunova A mengetengahkan projek “The Project L.E.G.A.C.Y.: From Community Adoption to Community Ownership”, yang memfokuskan kepada pemerkasaan komuniti melalui pendekatan yang menggalakkan masyarakat bukan sekadar menerima manfaat, malah mengambil pemilikan terhadap inisiatif yang dilaksanakan secara mampan.

Sementara itu, UPSI Volunova B membentangkan projek “UCO-RESCUE: Used Cooking Oil VS Eco Fueling The Future”, yang mengetengahkan potensi minyak masak terpakai sebagai sumber alternatif serta meningkatkan kesedaran terhadap pengurusan sisa dan kelestarian tenaga.
Lebih membanggakan, UPSI Volunova A dinobatkan sebagai penerima Anugerah Poster Terbaik menerusi pembentangan projek The Project L.E.G.A.C.Y.. Pengiktirafan ini mencerminkan keupayaan mahasiswa UPSI dalam menghasilkan idea yang kreatif, berimpak dan relevan dengan agenda pembangunan komuniti serta kesukarelawanan mampan.
Pencapaian tersebut turut memperlihatkan kemampuan mahasiswa UPSI mengetengahkan idea dan inovasi dalam platform serantau yang melibatkan penyertaan dari pelbagai negara. Ia sekali gus memperkukuh peranan mahasiswa sebagai penggerak perubahan yang mampu menghubungkan aktivisme, inovasi dan pemerkasaan komuniti.
Kejayaan Pasukan UPSI Volunova A meraih Anugerah Poster Terbaik di RECONSA 2026 menjadi satu lagi pencapaian membanggakan buat UPSI dalam mengangkat kecemerlangan mahasiswa dalam bidang aktivisme, inovasi dan kesukarelawanan ke peringkat serantau.












