Oleh : Nurul Aida Othman & Dr. Wan Mokhdzani Wan Nor Haimi
MEDAN, INDONESIA, 15 SEPTEMBER 2026 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) membuka lembaran baharu dalam agenda pengantarabangsaan apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majelis Pendidikan Tinggi Penelitian dan Pengembangan Pimpinan Pusat Muhammadiyah (Diktilitbang PP Muhammadiyah), sekali gus membuka akses kerjasama dengan 165 institusi pendidikan tinggi di seluruh Indonesia.
Kerjasama strategik itu dijangka memberi lonjakan kepada bidang akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat UniMAP menerusi jaringan luas institusi pendidikan tinggi Muhammadiyah.
MoU tersebut ditandatangani Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, manakala pihak Diktilitbang PP Muhammadiyah diwakili Pengerusinya, Prof. Dr. Bambang Setiaji, pada majlis yang berlangsung di Le Polonia Hotel & Convention, Medan, malam tadi.

Majlis tersebut turut disaksikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Canselor UniMAP. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Pro-Canselor UniMAP.
Pemeteraian MoU itu diadakan bersempena Istiadat Pemasyhuran Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis, sebagai Canselor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) yang diadakan di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Medan petang semalam.
Menurut Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman, kerjasama berkenaan mempunyai nilai strategik yang besar kepada UniMAP kerana ia bukan sahaja melibatkan hubungan antara dua institusi, malah berpotensi menghubungkan UniMAP dengan rangkaian institusi pendidikan tinggi Muhammadiyah yang luas.
“Kerjasama ini membuka ruang kepada mobiliti pelajar, pertukaran staf dan ahli akademik, pengajian pascasiswazah, penyelidikan dan permohonan geran bersama, penerbitan serta penyeliaan bersama.
“Turut diterokai ialah penganjuran syarahan, simposium, seminar, persidangan, bengkel dan program pensyarah pelawat yang boleh memperkaya pengalaman akademik kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kerjasama tersebut turut menyediakan peluang kepada pensyarah daripada rangkaian Universitas Muhammadiyah untuk melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UniMAP, selain meneroka pelaksanaan program dual degree.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja mampu meningkatkan mobiliti akademik, malah berpotensi memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi antara Malaysia dan Indonesia.

Dalam perkembangan berkaitan, UniMAP kini mempunyai 29 MoU dan MoA dengan institusi pendidikan tinggi di Indonesia, menunjukkan hubungan akademik kedua-dua negara semakin berkembang.
Kerjasama penyelidikan pula melibatkan bidang strategik termasuk Kecerdasan Buatan (AI), semikonduktor, kemanusiaan, material, antena serta rangkaian dan komunikasi, dengan nilai keseluruhan melebihi RM500,000.
“Hubungan ini bukan lagi sekadar pertukaran akademik, tetapi telah berkembang kepada penyelidikan dan inovasi yang mempunyai nilai serta impak yang lebih besar.
“Melalui jaringan Muhammadiyah yang begitu luas, kita melihat potensi untuk memperbanyakkan lagi kerjasama projek penyelidikan di samping membangunkan bakat yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.
Hubungan akademik yang semakin kukuh itu turut menyumbang kepada peningkatan kemasukan pelajar dari Indonesia ke UniMAP, khususnya di peringkat pascasiswazah.
Ketika ini, hampir 100 pelajar dari Indonesia sedang mengikuti pengajian di UniMAP.
Tambah Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman, perkembangan tersebut membuktikan bahawa usaha pengantarabangsaan UniMAP bukan sahaja memberi peluang kepada warga universiti menimba pengalaman di luar negara, malah menjadikan UniMAP sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa.
“Kita bukan sahaja mahu menghantar pelajar dan staf ke luar negara, tetapi pada masa sama mahu menjadikan UniMAP sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa.
“Kerjasama dengan Muhammadiyah ini memberikan satu platform yang besar untuk kita memperluas jaringan tersebut, khususnya di Indonesia,” katanya.
Beliau berkata, UniMAP akan terus meneroka kerjasama strategik bersama Muhammadiyah dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi bagi menghasilkan lebih banyak program dan projek berimpak tinggi.
Pemeteraian MoU itu diyakini menjadi pemangkin kepada pengembangan jaringan pendidikan tinggi Malaysia–Indonesia, selain memperkukuh peranan UniMAP dalam ekosistem pendidikan tinggi serantau.












