Advertisement

UPSI Juara Baharu Ragbi 7S Lelaki SUKIPT 2026, Skuad Wanita Raih Gangsa

oleh Mohd Raizol Ramli dan Mohd Faiz Zabri

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah baharu apabila julung kali merangkul gelaran juara acara ragbi 7 sebelah (7s) lelaki Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 selepas menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 17-12 dalam aksi final di Universiti Malaya, hari ini.

Kemenangan dramatik itu menyaksikan skuad lelaki UPSI pamer kebangkitan luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan 0-12. UKM yang terlebih dahulu menguasai awal permainan meletakkan UPSI dalam situasi tertekan, namun ketenangan serta kekuatan mental pemain menjadi kunci utama dalam mengubah momentum perlawanan hingga berjaya mengumpul 17 mata berharga.

Pasukan Ragbi Lelaki

Pengarah Pusat Sukan UPSI, En. Mohammad Faeez Mohamad Alias, meluahkan rasa bangga atas semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh barisan atlet mahasiswa berkenaan.

“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras, disiplin, dan keazaman tinggi seluruh warga pasukan. Ketinggalan 0-12 di pentas final bukanlah sesuatu yang mudah, namun mereka membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil. Slogan ‘Impossible Is Nothing’ benar-benar dihayati oleh para pemain hari ini,” katanya.

Pasukan Ragbi Wanita UPSI

Melengkapkan hari gemilang kontinjen UPSI, skuad ragbi 7s wanita turut cemerlang membawa pulang pingat gangsa. Secara keseluruhannya, UPSI menamatkan saingan ragbi SUKIPT 2026 dengan koleksi satu pingat emas dan satu pingat gangsa.

Pencapaian berganda ini membuktikan perkembangan positif program pembangunan ragbi di UPSI, sekali gus menjadi tiang sandaran kukuh untuk universiti berkenaan terus memperkasakan sukan ragbi lelaki dan wanita bagi kejohanan akan datang.