Oleh : Mohd Azfar Syukri Yusien
Hospital Ampang, 24 Julai 2026 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS) telah mengadakan Program Ziarah Kasih dan penyampaian bantuan kepada seorang mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Nurhafiy Mohd Sazali, yang sedang menerima rawatan di Hospital Ampang.
Muhammad Nurhafiy merupakan mahasiswa Tahun 2, Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Pembinaan, Fakulti Alam Bina (FAB), UiTM. Program tersebut bertujuan menzahirkan keprihatinan KPT terhadap kebajikan mahasiswa yang sedang berdepan cabaran kesihatan, di samping memberikan sokongan moral agar beliau terus tabah menjalani rawatan dan meneruskan pengajian.

Rombongan Yayasan Perkasa Siswa diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Hirman Awang @ Semail, bersama beberapa orang pegawai KPT.
Turut mengiringi lawatan tersebut ialah wakil UiTM yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Pentadbiran Strategik dan Sumber Manusia, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Encik Mohd Rizal Nordin bersama pegawai Unit Korporat dan Tugas-Tugas Khas.
Hadir sama mewakili Fakulti Alam Bina ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), Prof. TPr. Dr. Yusfida Ayu Abdullah @ Mohd Zain serta Ketua Kesejahteraan dan Kebajikan Pelajar, Prof. Madya Gs. Dr. Nabilah Naharudin. Lawatan turut disertai dua wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM daripada Fakulti Alam Bina.
Sepanjang lawatan, rombongan berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan mahasiswa berkenaan serta ahli keluarganya bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan kesihatan dan proses rawatan yang sedang dijalani.

Program Ziarah Kasih ini mencerminkan keprihatinan KPT terhadap kebajikan mahasiswa serta menjadi platform untuk menyampaikan bantuan dan sokongan kepada pelajar yang sedang berhadapan dengan cabaran kesihatan. Inisiatif seperti ini turut memperkukuh hubungan antara kementerian, institusi pendidikan tinggi dan mahasiswa.
Menurut Hirman, KPT melalui YPS akan terus komited dalam membantu mahasiswa yang memerlukan agar mereka dapat meneruskan pengajian tanpa berasa bersendirian ketika menghadapi cabaran kehidupan.
“Setiap mahasiswa mempunyai potensi untuk berjaya dan tidak seharusnya tercicir daripada pendidikan hanya kerana berdepan ujian kehidupan. Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Yayasan Perkasa Siswa akan terus berusaha menyalurkan sokongan kepada mahasiswa yang memerlukan agar mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih yakin dan bersemangat,” katanya.
UiTM sentiasa menghargai sokongan serta kerjasama erat yang diberikan oleh KPT dan YPS dalam memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa. Kerjasama strategik seperti ini membolehkan pelbagai bentuk bantuan dan sokongan diselaras secara lebih berkesan demi kesejahteraan pelajar.
Lawatan ini memperlihatkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa diberi perhatian, khususnya mereka yang sedang berhadapan dengan cabaran kesihatan dan memerlukan sokongan berterusan. Melalui pendekatan yang menyantuni serta inklusif, program seumpama ini bukan sahaja diharap dapat memberikan semangat kepada mahasiswa untuk terus tabah menjalani rawatan dan meneruskan pengajian sehingga berjaya mencapai cita-cita, malah mengeratkan hubungan antara kementerian, universiti, fakulti dan mahasiswa melalui pendekatan yang lebih dekat, prihatin serta berfokus kepada kesejahteraan pelajar.

Usaha berterusan yang dilaksanakan oleh KPT bersama institusi pendidikan tinggi membuktikan bahawa kebajikan mahasiswa merupakan agenda penting yang sentiasa diberi perhatian. Pendekatan kolaboratif ini diharap dapat terus memberi manfaat kepada lebih ramai mahasiswa yang memerlukan pada masa hadapan.
UiTM akan terus menyokong segala usaha yang memperkukuh kesejahteraan mahasiswa melalui kerjasama strategik bersama KPT, serta pelbagai pihak berkepentingan, selaras dengan aspirasi untuk memastikan setiap mahasiswa mendapat sokongan yang sewajarnya dalam meneruskan pengajian.












