Disediakan oleh: Maisarah binti Zainal
TANJONG MALIM, 20 November 2026 – Seramai 13 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang aktif dalam sukan pencak silat berpeluang menimba ilmu kejurulatihan bertaraf dunia menerusi penganjuran program International Pencak Silat Coaching Clinic 2026 di Arena, Kompleks Sukan Azlan Shah (KSAS), di sini, hari ini.
Program berimpak tinggi itu dikendalikan khas oleh pensyarah Universitas Sebelas Maret, Indonesia, Dr. Rony Syaifullah, yang juga merupakan bekas atlet pencak silat kebangsaan Indonesia berpengalaman luas di pentas antarabangsa serta pernah merangkul kejuaraan sebanyak enam kali dalam temasya Sukan SEA.
Klinik kejurulatihan ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) serta Pusat Sukan UPSI bersama Fakultas Ilmu Keolahragaan (FIK), Universitas Negeri Malang, Indonesia.

Turut hadir mengiringi para peserta sepanjang program berlangsung ialah pensyarah FSSK UPSI, Dr. Neni Widiasmoro, manakala Penolong Pegawai Tadbir (N5), Encik Mohd Rizal bin Hashim hadir mewakili Pengarah Pusat Sukan UPSI pada penghujung majlis bagi menyampaikan cenderahati penghargaan kepada Dr. Rony Syaifullah.
Penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan komprehensif mengenai bidang kejurulatihan, pembangunan atlet prestasi tinggi serta pendekatan latihan moden dalam silat olahraga, di samping mengukuhkan jaringan kerjasama akademik dan sukan antara UPSI dengan institusi pendidikan tinggi di Indonesia.

Dalam sesi perkongsiannya, Dr. Rony menekankan kepentingan pembentukan mentaliti juara dan jati diri yang utuh dalam diri setiap pesilat berbanding kebergantungan kepada teknik fizikal semata-mata.
“Atlet harus punya, bukan bisa,” tegas beliau sambil menyeru para peserta agar sentiasa bersedia dari aspek fizikal dan mental untuk bergelar juara dunia, selain menerapkan empat elemen teras iaitu keberanian, disiplin, sikap merendah diri tanpa ego, serta penguasaan kemahiran secara menyeluruh.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua Kelab Pencak Silat UPSI, Maisarah binti Zainal menyifatkan peluang berguru secara langsung dengan ikon sukan serantau itu sebagai satu pengalaman yang amat berharga buat mahasiswa.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana diberi peluang menyertai program ini dan menimba ilmu secara langsung daripada Dr. Rony Syaifullah. Pengalaman dan perkongsian beliau memberikan inspirasi besar kepada saya sebagai seorang pelajar dan atlet pencak silat,” katanya.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Sukan UPSI, Muhammad Syazani Iqbal bin Russlan, 22, ilmu yang diperoleh akan dijadikan panduan untuk membina kerjaya sebagai jurulatih yang berkualiti pada masa hadapan.
“Seorang atlet yang hebat bukan sahaja perlu tahu bagaimana untuk mencapai kejayaan, tetapi juga perlu mempunyai nilai dan disiplin yang mampu membentuk dirinya menjadi insan yang lebih baik,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, penganjuran International Pencak Silat Coaching Clinic 2026 berjaya menjadi platform berkesan dalam menghubungkan pengalaman praktikal atlet dengan teori kejurulatihan, sekali gus menyokong aspirasi UPSI melahirkan graduan serta bakal jurulatih yang berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.













