Advertisement

Permainan Tradisional Erat Hubungan Silang Budaya Mahasiswa UPSI dan Universitas Negeri Malang

Disediakan oleh: Nur Irhamna Qamariah binti Wira

MALANG, INDONESIA, 18 November 2026 – Sukan tradisional terus menjadi medium berkesan dalam merapatkan hubungan dua hala apabila seramai 90 orang mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universitas Negeri Malang (UM) menyertai International Traditional Sport Competition yang berlangsung meriah di Stadion Cakrawala, di sini, hari ini.

Pertandingan yang dianjurkan bersempena hari ketiga Program Mobiliti Tanpa Kredit UPSI ke Universitas Negeri Malang (16 hingga 22 November 2026) itu mengetengahkan konsep silang budaya menerusi pengenalan tiga permainan tradisional ikonik Indonesia, iaitu Bakiak (selipar gergasi), Balap Karung (lari dalam guni) dan Estafet Sarung (gelung kain).

Permainan Selipar Gergasi

Delegasi UPSI disertai oleh tujuh orang pelajar daripada Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), termasuk Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Nur Irhamna Qamariah binti Wira, serta diiringi pegawai dari Pusat Sukan UPSI, Datin Wan Nurul Hidayu binti Wan Abdul Razak.

Program berimpak tinggi ini merupakan hasil kerjasama strategik antara FSSK dan Pusat Sukan UPSI bersama Fakultas Ilmu Keolahragaan UM yang dikelolakan oleh saudara Dzikri Ahmaluddin Afriyansyah dengan bimbingan dua orang pensyarah UM, iaitu Muhammad Atiq Noviudin Pritama, M.Pd. dan Andryas Yuniarto, M.Or.

Penganjuran pertandingan ini bertujuan memberi pendedahan langsung kepada mahasiswa mengenai kepelbagaian warisan budaya serantau, di samping memupuk nilai kepimpinan, kemahiran komunikasi, toleransi dan kerja berpasukan dalam persekitaran global. Ketiga-tiga acara yang dipertandingkan menuntut kesepakatan serta koordinasi pergerakan yang jitu antara ahli kumpulan untuk menamatkan cabaran.

Nur Irhamna Qamariah binti Wira bersama rakan Majlis Perwakilan Pelajar

Menurut wakil pelajar merangkap Ahli MPP UPSI, Nur Irhamna Qamariah binti Wira, penyertaan dalam program tersebut membuka ruang buat mahasiswa keluar daripada zon selesa dan memahami erti sebenar kepimpinan rentas budaya.

“Saya menyedari bahawa kepimpinan bukan sekadar kebolehan mengetuai sesuatu kumpulan, tetapi turut melibatkan sikap saling menghormati, mendengar pandangan orang lain dan bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama. Melalui permainan tradisional ini, kami bukan sahaja mengenali budaya masyarakat Indonesia, malah memahami kepentingan perpaduan dan semangat kesukanan dalam membina hubungan antara negara,” katanya.

Nur Irhamna Qamariah binti Wira

Sementara itu, wakil penganjur, Dzikri Ahmaluddin Afriyansyah berkata, mahasiswa UM amat mengalu-alukan kehadiran delegasi UPSI dan menyifatkan program mobiliti antarabangsa sebegini amat penting dalam memperkukuh jaringan institusi serta meluaskan penglibatan sukan mahasiswa di persada antarabangsa.

Selain acara sukan rakyat, delegasi UPSI turut dibawa melawat persekitaran kampus UM pada jam 10.00 pagi merangkumi perpustakaan, fasiliti sukan, masjid dan bangunan fakulti. Menerusi lawatan tersebut, para peserta didedahkan dengan ekosistem pembelajaran UM yang mempunyai tiga buah kampus, iaitu dua di Malang dan satu di Kota Blitar.

Mahasiswa UPSI bersama pelajar Universitas Negeri Malang Indonesia

Aktiviti hari ketiga kemudiannya diakhiri dengan sesi refleksi dan dokumentasi laporan khusus buat pelajar UPSI pada jam 1.00 petang bagi menilai serta merumuskan nilai pembelajaran yang diperoleh.

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini membuktikan bahawa sukan tradisional mampu melangkaui batasan fizikal dan perbezaan bahasa untuk menyatukan mahasiswa kedua-dua negara, sekali gus menyokong aspirasi UPSI dalam melahirkan graduan holistik yang berdaya saing di peringkat global.

Total Views: 1