PORT DICKSON, 22 November 2026 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL) terus memperkukuh komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui penganjuran Program Jejak Bakti: Ukhuwah Dijalin, Kebajikan Disemai bertempat di Kampung Sawah, Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Program yang melibatkan penyertaan staf PRUPEL dan mahasiswa USIM ini menjadi platform bagi menyemarakkan budaya kesukarelawanan, memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat setempat serta memupuk nilai keprihatinan sosial dalam kalangan mahasiswa.

Menariknya, program ini turut mengetengahkan peranan aktif Majlis Perwakilan Kolej Kediaman (MPKK) Sesi Akademik 2026/2027 sebagai penggerak utama Kem Bestari Solat yang melibatkan murid sekolah rendah berusia antara tujuh hingga 12 tahun. Penglibatan mahasiswa dalam mengendalikan aktiviti berteraskan pendidikan dan penghayatan ibadah ini mencerminkan keupayaan kepimpinan pelajar untuk menyumbang ilmu, kemahiran dan tenaga secara langsung kepada masyarakat.
Pelaksanaan Kem Bestari Solat bukan sahaja bertujuan meningkatkan kefahaman murid terhadap kepentingan ibadah solat, malah memberikan ruang kepada barisan kepimpinan MPKK untuk mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan program dan kerja berpasukan melalui pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah.
Selain pengendalian Kem Bestari Solat, program CSR ini turut merangkumi pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong memasak, mengecat dewan sekolah dan pertandingan mewarna. Pengisian tersebut membuka peluang kepada warga universiti untuk berganding bahu dengan komuniti setempat dalam mewujudkan persekitaran yang lebih ceria, harmoni dan sejahtera.

Penglibatan MPKK dalam program ini turut memperlihatkan bahawa peranan mahasiswa tidak hanya terbatas kepada kepimpinan dan kebajikan penghuni kolej kediaman, sebaliknya turut merangkumi tanggungjawab sosial serta sumbangan bermakna kepada masyarakat luar kampus.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL), Yang Mulia Raja Mariam Raja Mohd Esa, yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Yang Berusaha Profesor Dr. Mushaddad Hasbullah.
Penganjuran program ini juga merupakan sebahagian daripada usaha PRUPEL untuk memperkasa pembangunan sahsiah dan kepimpinan mahasiswa melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, sekali gus membentuk generasi pelajar yang prihatin, bertanggungjawab dan berjiwa masyarakat.
Program dengan kerjasama komuniti Kampung Sawah ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif kesukarelawanan yang diterajui mahasiswa, selaras dengan aspirasi USIM untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai insaniah, akhlak mulia dan semangat berbakti kepada masyarakat.













