Advertisement

Dua Pasukan SCIMPA UUM Raih Pingat Perak Dan Gangsa Di DICE 4.0 – MySiswaNow

Berita dan Gambar oleh SCIMPA UUM

PUTRAJAYA – Dua pasukan pelajar Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya meraih Pingat Perak dan Gangsa dalam pertandingan Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 yang berlangsung pada 17 hingga 19 November 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), bersempena Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026.

Kejayaan tersebut diraih menerusi penyertaan dalam dua kategori pertandingan, iaitu Media Interaktif (AR/VR/MR) dan Animasi Pendek, yang masing masing mengetengahkan inovasi kreatif berteraskan pemeliharaan dan pengenalan warisan tempatan melalui teknologi digital.

Bagi kategori Media Interaktif (AR/VR/MR), pasukan Digital Mango berjaya meraih Pingat Perak menerusi projek Echoes of Kedah, sebuah inovasi berasaskan teknologi realiti maya (VR) yang membawa pengguna meneroka keunikan warisan alam dan budaya Kedah, khususnya kawasan Sungai Merbok, melalui persekitaran tiga dimensi (3D) yang imersif dan interaktif.

Projek tersebut dibangunkan oleh empat pelajar program Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif dengan Kepujian (BCIM), iaitu Muhammad Harris Idzham bin Mohd Hanley, Muhammad Danish bin Idris, Siti Aisyah binti Mazelan dan Neoh Yong Chen, di bawah bimbingan Dr. Abdul Syafiq bin Bahrin, Pensyarah Kanan SCIMPA.

Sementara itu, bagi kategori Animasi Pendek, pasukan Northern Animation Studio berjaya memperoleh Pingat Gangsa menerusi projek Misi Mencari Instrumen Muzik Traditional, sebuah projek video bersiri animasi 3D yang mengangkat tema warisan instrumen muzik tradisional melalui medium penceritaan animasi.

Pasukan tersebut dianggotai oleh empat pelajar program Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif dengan Kepujian (Animasi), iaitu Nurfazira binti Samsudin, Muhammad Arif Fikri bin Fauzi, Nur Shafiqah binti Ahmad Zaki dan Muhamad Zariff Sazwan bin Mohd Hapizi. Mereka dibimbing oleh Dr. Mohd Fitri bin Yusoff, pensyarah SCIMPA yang mempunyai kepakaran dalam bidang industri animasi kreatif.

Pertandingan DICE 4.0 yang bertemakan “WARISAN” ini dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), melibatkan kira-kira 70 pasukan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta penyertaan antarabangsa dari Thailand, Indonesia dan Nigeria.

Pencapaian kedua dua pasukan ini mencerminkan keupayaan pelajar SCIMPA mengaplikasikan kreativiti, kemahiran teknikal dan pengetahuan dalam bidang realiti maya serta animasi bagi menghasilkan karya digital yang berpotensi menyumbang kepada usaha memperkenalkan dan memelihara warisan budaya.

Penghargaan turut dirakamkan kepada Co-operative Entrepreneurship Development Institute (CEDI), UUM atas kepercayaan memilih kedua dua pasukan SCIMPA untuk mewakili universiti dalam pertandingan tersebut.

Kejayaan ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar SCIMPA untuk terus diberikan kepercayaan dan dicalonkan mewakili UUM dalam pertandingan inovasi dan kreativiti pada peringkat kebangsaan serta antarabangsa, sekali gus memperkukuh kecemerlangan universiti dalam bidang industri kreatif dan teknologi digital.

Total Views: 2