Oleh: Rosdi bin Abdullah
PAGOH, 21 November 2026 – Penganjuran sulung Pertandingan U-STAR TALENT IPT 2026 Peringkat Kebangsaan mendapat sambutan luar biasa apabila berjaya menghimpunkan sebanyak 10 kumpulan berbakat besar daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara, malam tadi.

Program anjuran Bahagian Kebudayaan, Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti (PSKU) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Kelab Warisan UTHM yang julung kali diadakan di Dewan D9, Kolej Kediaman UTHM Kampus Pagoh itu turut berjaya menarik kehadiran lebih 300 orang penonton.
Sambutan hangat daripada para peserta dan penonton ini membuktikan kejayaan penganjur dalam menyediakan platform berprestij untuk mencungkil dan memartabatkan bakat seni persembahan dalam kalangan mahasiswa.
Sepanjang pertandingan berlangsung, kesemua 10 kumpulan yang bertanding mempamerkan persaingan sengit menerusi pelbagai kategori persembahan termasuklah band muzik moden, band muzik tradisional, tarian tradisional, nyanyian solo lagu moden, nyanyian solo lagu tradisional serta nyanyian duet.
Majlis perasmian pertandingan telah disempurnakan oleh Provos UTHM Kampus Pagoh, Prof. Ts. Dr. Abdul Mutalib bin Leman. Turut hadir memeriahkan acara ialah Pengarah UTHM Kampus Pagoh, Encik Mohd Faisalluddin bin Abdul Aziz; Ketua Bahagian Kebudayaan PSKU UTHM, Encik Rosdi Abdullah; serta barisan pegawai pengiring daripada kesemua institusi yang mengambil bahagian.
Acara pada malam tersebut turut diserikan lagi dengan penampilan istimewa Juara TVET Got Talent Kebangsaan 2025, Wan Hariz Zikry bin Wan Ahmad.
Bagi keputusan penuh pertandingan, Kumpulan Tompinz dari UTHM Kampus Pagoh berjaya merangkul gelaran juara, manakala tempat kedua disandang oleh Anis Farhana binti Mohd Alias dengan iringan Muhammad Irsyad Ilmi bin Rosli dari UTHM Kampus Parit Raja.
Tempat ketiga pula menjadi milik kumpulan Project 26 dari UTHM Kampus Pagoh, diikuti oleh kumpulan Art of Sound dari UTHM Kampus Parit Raja di tempat keempat dan wakil dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di tempat kelima.
Sementara itu, lima lagi pasukan yang bertanding iaitu wakil dari TVET Mara Sri Gading, Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (dua kumpulan), Kolej Vokasional Pagoh, serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) masing-masing menerima hadiah saguhati.
Kejayaan penganjuran sulung oleh Bahagian Kebudayaan PSKU UTHM dan Kelab Warisan UTHM ini bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam pembangunan bakat seni pelajar, malah berjaya memperkukuh jalinan ukhwah antara warga IPT di peringkat kebangsaan.














