Foto & teks: Muhammad Syahreel Bin Salim, Tahun 3, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM

Putrajaya, 19 November 2026 – Momentum hari kedua Festival of Ideas (FOI Putrajaya) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) terus rancak dengan penyertaan seramai 260 delegasi pelajar Universiti Sains Malaysia.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut merasmikan iUNRC Presidents Roundtable Forum, Fourth Council Meeting and Academic Symposia 2026 di bawah University Network for Research Collaboration (iUNRC) bagi memperkukuh penyelidikan rentas negara dalam menangani isu perubahan iklim, keselamatan makanan dan tenaga serta kelestarian ekosistem.
Dalam sesi meja bulat itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed turut serta bersama pemimpin universiti antarabangsa bagi membincangkan hala tuju penyelidikan kolaboratif, sekali gus mengukuhkan kerjasama strategik USM bersama Chongqing University.
Selain itu, program turut diserikan dengan ucaptama oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Lukanisman bin Awang Sauni, sebelum diteruskan dengan Forum Akademik iUNRC (Simposium Selari 1, 2 dan 3) yang memfokuskan pembentangan Geran Penyelidikan Dana Inovasi iUNRC.



Sesi ini turut disertai oleh barisan kepimpinan tertinggi universiti iaitu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, serta Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A. Wahab.
Sementara itu, kecemerlangan inovasi mahasiswa USM terserlah menerusi penyertaan tiga wakil universiti dalam Huawei ICT Competition 2026–2027 Malaysia: Innovation Track Grand Finals bagi mempamerkan kepakaran teknikal dan penyelesaian digital berdaya saing.
Majlis perasmian dan sesi meja bulat tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman serta Naib Presiden Chongqing University, Prof. Jian Li.













