Advertisement

UiTM Perkasakan Intervensi Pengurusan HIV Menerusi Misi Penandaarasan Strategik di Thailand

Oleh: Mohd Rizal Nordin

HATYAI, 20 Oktober 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi inisiatif induk U-CARE: Empowering Youth Against HIV 2026 telah menjayakan siri misi penandaarasan strategik ke institusi kesihatan terkemuka di Thailand, dengan memperkasakan peranan belia dan mahasiswa sebagai ejen perubahan dalam pertukaran ilmu serta intervensi perubatan berkaitan pengurusan HIV dan AIDS, baru-baru ini.

Siri perbincangan dwisektor ini bertujuan mendalami strategi pengurusan klinikal serta perkhidmatan kesihatan awam menerusi dua perspektif utama di Thailand, merangkumi sektor akademik universiti di Prince of Songkla University (PSU) dan sektor perkhidmatan kesihatan kerajaan di Hospital Krabi.

Menerusi dimensi akademik universiti, delegasi UiTM bersama pimpinan mahasiswa Kelab HEALX mengadakan sesi pertukaran ilmu di Fakulti Perubatan PSU dan Hospital Songklanagarind bersama Bahagian Penyakit Berjangkit, Jabatan Perubatan Dalaman. Sesi wacana tersebut menekankan peranan mahasiswa sebagai Peer Navigators dalam advokasi kesihatan belia, pemantapan agenda U-CARE, kepakaran perubatan Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) UiTM dan Fakulti Perubatan UiTM, serta sinergi strategik bersama KKM dan NGO.

Acara disusuli penyampaian cenderahati oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Hospital merangkap Pengarah Hospital Songklanagarind, Prof. Dr. Rangsan Phurayanonthachai kepada Ketua Delegasi UiTM, Dr. Nurfazlinda Md Shah, sebelum diselangi sesi penyerahan cenderahati balasan dan diakhiri dengan sesi kenangan bersama.

Prof. Dr. Rangsan Phurayanonthachai menerima cenderahati daripada Dr. Nurfazlinda di Hospital Songklanagarind.

Misi diteruskan ke Hospital Krabi bagi memperkasa pemahaman terhadap perspektif kementerian kesihatan kerajaan Thailand. Wacana interaktif ini memberi ruang kepada mahasiswa serta delegasi pegawai untuk mendalami amalan pengurusan kes perubatan hospital awam, pelaksanaan protokol rawatan saringan dan pencegahan, serta intervensi klinikal mampan di peringkat tempatan.

Delegasi dari Malaysia mengadakan lawatan penandaarasan ke Hospital Krabi.

Turut memantapkan misi penandaarasan ini ialah Pengarah Bahagian Pentadbiran Strategik dan Sumber Manusia Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM, Encik Mohd Rizal Nordin; Pakar Perubatan Keluarga HASA UiTM, PM Dr. Ilham Ameera Ismail; Pakar Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan UiTM, Dr. Aiza Nur Izdihar Zainal Abidin; serta Pakar Perubatan Kesihatan Awam KKM, Dr. Lalitha Malar Maniam.

Menerusi perutusan beliau, Dr. Nurfazlinda menegaskan bahawa penganjuran siri lawatan penandaarasan dwisektor ini berjaya melonjakkan kepimpinan belia, diplomasi perubatan serantau serta peranan mahasiswa dalam memacu advokasi kesihatan awam. Kejayaan misi ini sekali gus menterjemahkan komitmen berterusan UiTM dalam melahirkan modal insan berilmu, berdaya saing dan warga pakar yang berimpak tinggi menerusi pemindahan ilmu rentas sempadan.

Dr. Jirasuda Phueakdong, Pengarah Hospital Krabi menerima cenderahati daripada Dr. Nurfazlinda di Hospital Songklanagarind.
Delegasi dari Malaysia mengambil kesempatan untuk bergambar kenang-kenangan bersama kakitangan Hospital Krabi.

Total Views: 15