Advertisement

UiTM Perkasa Mahasiswa Kampus Arau Membanteras HIV dan Meroboh Benteng Stigma

Oleh: Mohd Rizal Nordin

ARAU, 17 Oktober 2026 – Kelab HEALX UiTM menerusi penganjuran bersama Sekretariat Jawatankuasa Taskforce University-Community Action On Reducing HIV/AIDS Epidemic (U-CARE) UiTM telah menjayakan program Sembang Santai: HIV – Youth Matters bertempat di Dewan Dahlia, UiTM Cawangan Perlis Kampus Arau, baru-baru ini. Penganjuran forum interaktif yang menjadi agenda utama di bawah inisiatif induk ‘U-CARE: Empowering Youth Against HIV 2026’ ini berhasrat memantapkan literasi kesihatan awam, menyemarak kesedaran serta membanteras stigma HIV dan AIDS di platform mahasiswa universiti.

Sesi perasmian telah disempurnakan oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam Pusat Kesihatan UiTM Shah Alam merangkap Ketua Sekretariat Jawatankuasa UCARE UiTM, Dr. Nurfazlinda Md Shah. Menerusi perutusan beliau, Dr. Nurfazlinda menegaskan keutamaan pelaksanaan ujian saringan kesihatan serta capaian rawatan awal demi mengawal penularan wabak dalam masyarakat di samping meningkatkan kualiti hidup pesakit. Beliau turut menyeru pembentukan sinergi komuniti dalam menggiatkan usaha pencegahan dan merobohkan benteng stigma demi menjayakan sasaran global menamatkan AIDS menjelang 2030.

Wacana interaktif ini dimantapkan lagi menerusi barisan panelis serba berwibawa daripada Pusat Kesihatan UiTM, Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, Fakulti Perubatan UiTM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), PT Foundation serta peranan penggerak belia menerusi wakil mahasiswa Kelab HEALX UiTM.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Perlis, Encik Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh; Pengarah Bahagian Pentadbiran Strategik dan Sumber Manusia Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM, Encik Mohd Rizal Nordin; serta akademia dari Universitas Muria Kudus Indonesia, Dr. Imanuddin.

penyampaian cenderahati telah disempurnakan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perlis, Encik Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh kepada Ketua Delegasi U-CARE UiTM merangkap Pakar Perubatan Kesihatan Awam Pusat Kesihatan UiTM, Dr. Nurfazlinda Md Shah

Inisiatif ini berjaya menghimpunkan seramai 100 orang mahasiswa UiTM Kampus Arau. Sesi forum memfokuskan pendedahan kontemporari mengenai pengurusan HIV/AIDS, merangkumi strategi pencegahan, ujian saringan, akses rawatan klinikal serta peranan belia dalam melahirkan persekitaran akademik yang empati dan bebas diskriminasi. Wacana ini menampilkan barisan pakar dan wakil agensi strategik merangkumi Pusat Kesihatan UiTM, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM, Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, Fakulti Perubatan UiTM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis AIDS Malaysia (MAC), Persatuan Insaf Murni Malaysia (IMAM) dan PT Foundation. Penglibatan seramai 28 orang wakil pelajar – Peer Educators Kelab HEALX UiTM dari kampus Shah Alam dan Sg Buloh turut memperkasakan kaedah pendidikan kesihatan berasaskan rakan sebaya.

Para mahasiswa yang hadir mengikuti sesi perkongsian dan perbincangan sempena program Sembang Santai: HIV – Youth Matters.

Impak penganjuran ini terbukti menerusi analisis penilaian program yang mencatatkan tahap kepuasan keseluruhan 4.64 daripada 5.0, dengan 93% peserta memberikan maklum balas amat memuaskan. Kajian ujian penilaian sebelum dan selepas program turut merekodkan anjakan sikap positif terhadap individu hidup dengan HIV, di mana skor kesediaan berinteraksi meningkat daripada 2.63 kepada 3.47, manakala penerimaan sosial bertambah baik apabila skor penolakan menurun daripada 3.97 kepada 3.10.

Kejayaan program ini menterjemahkan komitmen berterusan UiTM dalam memacu agenda kesihatan awam serta meletakkan mahasiswa sebagai ejen perubahan komuniti. Program U-CARE ini dijangka mampu menghapuskan tanggapan negatif berkaitan HIV dan AIDS, mewujudkan warga kampus yang berilmu, prihatin dan inklusif, sekali gus melahirkan masyarakat universiti yang sihat serta sejahtera.

Sesi perkongsian pengalaman yang berimpak ini telah dikendalikan oleh wakil wakil mahasiswa Peer Educators Kelab HEALX UiTM, Saudara Anas Ahmad Mokhtar dari Fakulti Sains Gunaan UiTM.
Total Views: 14