Advertisement

STEM BATTLE 2026 ZON UTARA CETUS MINAT PELAJAR TERHADAP TEKNOLOGI DRON

Oleh : Prof. Dr. Mohd Mustaffa Al Bakri Abdullah

PAUH PUTRA, 2 November 2026 — Program STEM Battle 2026 Zon Utara yang berlangsung selama dua hari di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya menarik penyertaan pelajar daripada 15 sekolah rendah dan menengah sekitar Zon Utara, sekali gus memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai aplikasi teknologi dron dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Program yang berlangsung pada 31 Okt hingga 1 Nov itu dianjurkan secara bersama oleh NxTech Global Sdn. Bhd. menerusi STEM Nexus dan UniMAP melalui Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK).

Pertandingan tersebut merangkumi tiga kategori utama, iaitu Drone Soccer, Drone Piloting (Team A) dan Drone Piloting (Team B), yang memberi peluang kepada peserta menguji kemahiran serta keupayaan mengendalikan dron dalam suasana pertandingan.

Sebelum pertandingan bermula, peserta diberikan taklimat mengenai format dan peraturan pertandingan, kaedah pengendalian dron serta prosedur keselamatan bagi memastikan setiap aktiviti berjalan lancar dan mematuhi ketetapan yang ditetapkan.

Penganjuran program itu bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran secara praktikal kepada peserta, malah membantu meningkatkan pemahaman mereka terhadap penggunaan teknologi dron yang semakin berkembang dalam pelbagai sektor.

Selain kemahiran teknikal, pertandingan itu turut menggalakkan peserta mengaplikasikan pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah, membuat keputusan serta komunikasi dan kerjasama berpasukan.

Pengalaman berkenaan diharap dapat menyemai minat pelajar untuk meneroka bidang kejuruteraan, robotik dan teknologi, sekali gus membuka ruang kepada mereka mengenali potensi kerjaya dalam industri berasaskan STEM.

Program yang diterajui Ts. Dr. Nur Hidayah Ahmad Zaidi selaku pengarah program itu turut mendapat sokongan jawatankuasa pelaksana, warga kerja serta fasilitator pelajar FKTK dan beberapa fakulti lain.

UniMAP turut merakamkan penghargaan kepada Pengurus NxTech Global, Rosheifa Rosdin, atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program berkenaan.

Maklum balas positif yang diterima daripada peserta dan pihak sekolah turut memberi petunjuk bahawa program seumpama itu berpotensi diteruskan, selain membuka peluang kepada peluasan kerjasama strategik antara universiti, industri dan institusi pendidikan.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof. Ir. Dr. Mohd Shukry Abdul Majid, yang turut dihadiri Dekan FKTK, Prof. Madya Ir. Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh.

Penganjuran STEM Battle 2026 Zon Utara mencerminkan komitmen UniMAP dalam memperkukuh kerjasama dengan pihak industri dan institusi pendidikan bagi memperluas akses kepada pembelajaran berasaskan teknologi, khususnya dalam usaha melahirkan generasi muda yang kreatif, inovatif dan berdaya saing.

Program itu juga membuktikan bahawa pendekatan pembelajaran secara interaktif dan berasaskan pengalaman mampu menjadikan STEM lebih dekat dengan kehidupan pelajar, sekali gus memupuk minat mereka terhadap bidang teknologi masa hadapan.

Total Views: 7