Advertisement

UniSZA TERUS PERKASA PERANAN SEBAGAI HUB KOMUNITI, JADI LOKASI MESYUARAT PERSIAPAN HADAPI MONSUN TIMUR LAUT 2026/2027

KUALA NERUS, 29 Oktober 2026 – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus memperkukuh peranannya sebagai hub komuniti dan pusat kerjasama strategik apabila menjadi lokasi penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Terengganu sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Mesyuarat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canselori UniSZA itu dihadiri delegasi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu serta wakil pelbagai agensi berkaitan dan formasi, melibatkan kira-kira 40 orang peserta.

Mesyuarat dipengerusikan oleh YDH DCP Dato’ Mohd Khairi bin Khairudin, Ketua Polis Negeri Terengganu, dengan fokus kepada penyelarasan perancangan, kesiapsiagaan dan tindakan bersepadu agensi dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana sepanjang musim tengkujuh.

Perbincangan ini turut memberi penekanan kepada kecekapan pengurusan bencana serta penyampaian bantuan kepada mangsa agar dapat dilaksanakan secara tersusun, pantas dan berkesan demi melindungi keselamatan serta kebajikan masyarakat.

Pemilihan UniSZA sebagai lokasi mesyuarat penting ini mencerminkan peranan universiti yang semakin berkembang bukan sahaja sebagai institusi pendidikan tinggi, malah sebagai hab komuniti yang menyediakan ruang, kemudahan dan platform untuk pelbagai agensi kerajaan serta pemegang taruh menjalin kerjasama demi kepentingan masyarakat.

Pendekatan ini turut memperlihatkan komitmen UniSZA untuk terus mendekati komuniti melalui perkongsian kepakaran, pemerkasaan jaringan strategik dan penglibatan aktif dalam agenda kesejahteraan masyarakat.

Dalam menghadapi cabaran Monsun Timur Laut, kerjasama rentas agensi amat penting bagi memastikan setiap perancangan dan tindakan dapat dilaksanakan secara bersepadu, sekali gus mengurangkan risiko serta meminimumkan kesan bencana terhadap penduduk yang terjejas.

UniSZA bukan sekadar medan ilmu, tetapi turut berperanan sebagai hub komuniti yang menyatukan kepakaran, agensi dan masyarakat dalam membina komuniti yang lebih bersedia, berdaya tahan dan sejahtera.

Total Views: 2