KUALA LUMPUR, 29 Oktober 2026 – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus memperkukuh jaringan hubungan antarabangsa apabila berbesar hati menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-103 Pengisytiharan Republik Türkiye yang berlangsung di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur.

Majlis berprestij anjuran Duta Besar Republik Türkiye ke Malaysia, TYT Dr. Nevzat Uyanık bersama isteri itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir serta Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam.
Kehadiran UniSZA dalam majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperluas hubungan diplomatik dan jaringan strategik antarabangsa, khususnya antara Malaysia dan Türkiye yang mempunyai potensi besar dalam bidang pendidikan tinggi.

Hubungan erat kedua-dua negara membuka ruang lebih luas kepada UniSZA untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, pertukaran ilmu, mobiliti mahasiswa dan staf serta perkongsian kepakaran merentas sempadan.
Malah, jaringan antarabangsa seumpama ini turut memberi nilai tambah kepada warga universiti, khususnya mahasiswa, melalui pendedahan kepada perspektif global, kepelbagaian budaya dan peluang pembelajaran di peringkat antarabangsa.
Penyertaan ini sekali gus memperlihatkan aspirasi UniSZA untuk terus memperluas jaringan kerjasama global serta mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti yang progresif, terbuka dan berdaya saing di persada antarabangsa.
Menghubungkan Negara, Memperkukuh Kerjasama – UniSZA terus melangkah membina jambatan ilmu dan persahabatan di peringkat global.













