Advertisement

𝐔𝐌𝐒 𝐅𝐒𝐓 𝐝𝐚𝐧 𝐈𝐊𝐄𝐁𝐒 𝐌𝐞𝐭𝐞𝐫𝐚𝐢 𝐋𝐎𝐈, 𝐏𝐞𝐫𝐤𝐮𝐤𝐮𝐡 𝐊𝐞𝐫𝐣𝐚𝐬𝐚𝐦𝐚 𝐒𝐭𝐫𝐚𝐭𝐞𝐠𝐢𝐤 𝐝𝐚𝐧 𝐌𝐨𝐛𝐢𝐥𝐢𝐭𝐢 𝐀𝐧𝐭𝐚𝐫𝐚𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚

Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai Letter of Intent (LOI) bersama IKEBS, sebuah entiti di bawah Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK), dalam satu majlis yang berlangsung di Bangunan Canselori UMS.

Pemeteraian ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, pembangunan belia, mobiliti antarabangsa dan pertukaran ilmu.

LOI tersebut ditandatangani oleh Dekan FST UMS, Profesor Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee, yang mewakili UMS, manakala IKEBS diwakili oleh Pengarahnya, Tuan Abqaree Fawwaz Abekan.

Majlis menandatangani LoI ini disaksikan oleh Datuk Mansur Haji Asun, Setiausaha Tetap KBSK dan Pendaftar UMS, Encik Luqman Ridha Anwar.

Pemeteraian LOI ini merupakan langkah awal ke arah mewujudkan kerjasama yang lebih erat antara institusi pendidikan tinggi dengan agensi pembangunan belia, khususnya dalam menyediakan peluang pembelajaran berasaskan pengalaman antarabangsa serta memperluas jaringan kerjasama strategik.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan mock cheque bernilai RM219,000.00 daripada KBSK kepada UMS sebagai tajaan penuh bagi pelaksanaan program mobiliti antarabangsa delegasi FST UMS ke Seoul, Korea Selatan, pada 9 hingga 13 November 2026.

Sebagai inisiatif pertama di bawah kerjasama ini, KBSK menaja sepenuhnya program mobiliti antarabangsa yang melibatkan delegasi FST UMS ke Seoul, Korea Selatan, pada 9 hingga 13 November 2026. Program ini bertujuan memberikan pendedahan antarabangsa kepada delegasi melalui interaksi akademik, pertukaran idea, perkongsian pengetahuan serta penerokaan peluang kerjasama dengan institusi di Korea Selatan.

Tajaan penuh oleh KBSK mencerminkan komitmen dalam menyokong pembangunan modal insan dan memperluas peluang kepada warga universiti untuk memperoleh pengalaman antarabangsa.

Inisiatif ini juga membuka ruang kepada pengukuhan hubungan antara pembangunan belia dengan pendidikan tinggi, khususnya dalam melahirkan generasi muda Sabah yang berpengetahuan, berdaya saing dan berfikiran global.

Melalui kerjasama ini, FST UMS dan IKEBS berhasrat meneroka lebih banyak inisiatif bersama pada masa hadapan, termasuk program mobiliti, pertukaran ilmu, pembangunan kepimpinan belia, perkongsian kepakaran dan aktiviti akademik yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

Kerjasama ini turut menyokong usaha UMS untuk memperluas jaringan antarabangsa serta meningkatkan peluang pembelajaran berasaskan pengalaman bagi pelajar dan warga universiti.

Pemeteraian LOI ini diharapkan menjadi asas kepada kerjasama jangka panjang yang mampan antara FST UMS dengan IKEBS, sekali gus menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi, belia dan masyarakat di Sabah.

Total Views: 5