Advertisement

ADIKARMA USM Pertahan Johan FesTA’26, Rangkul Anugerah Koreografi Terbaik

Teks/foto: Kumpulan Kesenian ADIKARMA

Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 27 Oktober 2026 – Kumpulan Kesenian ADIKARMA, Universiti Sains Malaysia, mengekalkan kecemerlangan apabila muncul Johan kategori IPTA/IPTS, Tarian Rampaian Tradisional Kreasi pada Festival Tari Kebangsaan UKM 2026 (FesTA’26) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia pada 24 Oktober 2026 baru-baru ini.

Kejayaan ADIKARMA turut diperkukuh dengan kemenangan Anugerah Koreografi Terbaik menerusi karya hasil bimbingan dan koreografi Encik Ahmad Assahirin Hamlet, Sektor Pengkayaan Bakat Seni dan Budaya, Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA USM dan mengekalkan gelaran Johan untuk tahun kedua berturut-turut.

Menerusi karya Rampaian Mahligai Kasih, seramai 12 penari ADIKARMA menggabungkan elemen inang, joget lambak dan silat pengantin untuk menghidupkan keindahan adat perkahwinan Melayu, daripada merisik hingga akad nikah dan persandingan, dengan menampilkan kelembutan gerak tari serta kemeriahan budaya yang mencerminkan keunikan warisan bangsa.

Pertandingan kategori berkenaan menyaksikan persaingan tujuh institusi, dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meraih Naib Johan dan Anugerah Busana Terbaik, Management and Science University (MSU) di tempat ketiga, manakala Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menerima Anugerah Khas Juri.

Festival tersebut turut dihadiri Pendaftar UKM, Tuan Haji Zanudin Mohd Daud dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Encik Rosnan Abdul Rahman.

Pencapaian ini mengukuhkan peranan ADIKARMA sebagai wadah pengembangan bakat mahasiswa dalam memperkasa seni tari tradisional Melayu melalui kreativiti dan penghasilan karya bermutu, sekali gus mengharumkan nama USM di persada kebudayaan kebangsaan.

Seluruh warga Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Universiti Sains Malaysia, merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kumpulan Kesenian Adikarma atas kejayaan membanggakan ini yang menyerlahkan kecemerlangan bakat mahasiswa serta mengangkat martabat seni tari tradisional Melayu di persada kebangsaan.

Total Views: 11