Oleh : Mohamad Nasrul Naim bin Romainu
Pekan, 29 Oktober – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh budaya kepimpinan dan demokrasi kampus menerusi penganjuran Majlis Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2026/2027 dan Penghargaan Mantan MPP Sesi 2025/2026 yang berlangsung di Dewan Cendekia Siswa, UMPSA Pekan, malam ini.
Majlis tersebut menjadi simbolik kepada peralihan kepimpinan mahasiswa, sekali gus meraikan pelantikan barisan MPP baharu yang bakal menggalas amanah sebagai wakil suara mahasiswa serta menjadi penghubung antara mahasiswa dengan pihak pengurusan universiti dalam menyampaikan aspirasi, pandangan dan keperluan warga kampus.
Majlis dimulakan dengan tayangan montaj yang memaparkan rangkuman proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) Sesi 2026/2027 sebagai gambaran penglibatan aktif mahasiswa dalam mengamalkan prinsip demokrasi serta memilih kepimpinan yang diyakini untuk mewakili kepentingan mereka.

Acara diteruskan dengan lafaz isytihar watikah pelantikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA sebelum penyerahan watikah pelantikan kepada barisan MPP baharu disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA sebagai pengiktirafan rasmi terhadap pelantikan mereka.
Barisan MPP Sesi 2026/2027 kemudiannya melafazkan sumpah ikrar jawatan, diikuti sesi aku janji oleh Yang Dipertua MPP sebagai manifestasi komitmen dan kesediaan kepimpinan mahasiswa untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, dedikasi serta mengutamakan kebajikan dan kepentingan mahasiswa.
Majlis turut menyaksikan simbolik penyerahan tugas antara kepimpinan MPP Sesi 2025/2026 dengan barisan kepimpinan baharu sebagai lambang kesinambungan kepimpinan, perkongsian pengalaman dan semangat kerjasama dalam memastikan agenda pembangunan serta kecemerlangan mahasiswa terus diperkasakan.

Selain itu, majlis turut menampilkan ucapan Yang Dipertua MPP Sesi 2026/2027 serta amanat Naib Canselor UMPSA yang menjadi panduan dan dorongan kepada barisan kepimpinan mahasiswa baharu dalam melaksanakan peranan sebagai pemimpin yang berwawasan, progresif dan bertanggungjawab.
Sebagai penghargaan terhadap khidmat bakti yang telah dicurahkan, majlis turut menyaksikan penyampaian cenderamata kepada mantan MPP Sesi 2025/2026 dan para penasihat sebagai tanda pengiktirafan universiti atas komitmen, sumbangan serta jasa mereka sepanjang menerajui kepimpinan mahasiswa.
Pelantikan MPP Sesi 2026/2027 diharap dapat meneruskan legasi kepimpinan mahasiswa UMPSA yang berwibawa, berintegriti dan berdaya saing, sekali gus menjadi pemangkin kepada pengukuhan suara mahasiswa serta merealisasikan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik yang berupaya memimpin dan menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.














