Advertisement

PULARA 2026 Labuhkan Tirai; Turut Mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

MANJUNG, 26 Oktober 2026 – Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026 melabuhkan tirainya malam tadi menerusi Malam Kemuncak yang mengangkat keindahan seni, budaya, dan warisan sebagai wadah memperkukuh jati diri bangsa serta menyatukan masyarakat menerusi kepelbagaian budaya.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, berkata warisan budaya negara perlu terus diketengahkan sebagai asas pembentukan jati diri generasi muda, selain menjadi medium untuk masyarakat memahami kepelbagaian budaya yang membentuk identiti Malaysia.

“Marilah kita gunakan ruang ini untuk menonjolkan warisan budaya kita supaya terbinanya jati diri dalam jiwa anak bangsa melalui kepelbagaian kebudayaan yang wujud di negara kita,” ujar beliau.

Berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2026, festival berkenaan berjaya menarik kehadiran 20,000 pengunjung. Jumlah itu merangkumi lebih 2,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta lebih 100 pelajar antarabangsa dari 25 buah negara.

Lebih membanggakan, kejayaan penganjuran ini turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR). Malam Kemuncak PULARA 2026 turut menyaksikan penyampaian sumbangan inisiatif Kampung Angkat MADANI berupa cek bernilai RM50,000 bagi pemasangan lampu solar fotovoltaik (PV) untuk 100 buah bot nelayan di Pulau Pangkor, Perak.

Majlis dimeriahkan dengan pelbagai persembahan seni tradisional, deklamasi sajak, dan persembahan oleh artis jemputan yang menyerlahkan keindahan bahasa serta kekayaan warisan negara, sekali gus menyemarakkan apresiasi masyarakat terhadap seni dan sastera tanah air.

Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM merangkap Pengerusi MAKUM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Puan Siti Aishah Abdul Raffar, Ketua Pentadbir BHEPA USM, barisan naib canselor serta timbalan naib canselor universiti awam; dan ketua-ketua jabatan Daerah Manjung.

Total Views: 10