Oleh : Mohd Khairul Effendi Che Wan / Foto : Izlizan Othman @ Yusoff
PAUH PUTRA, 23 Okt – Pemilihan Pemimpin Mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Sesi 2026/2027 mencatatkan kadar penyertaan pengundian sebanyak 83.96 peratus menerusi sistem pengundian dalam talian, mencerminkan komitmen mahasiswa dalam menentukan kepimpinan mereka.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Mustaffa Al Bakri Abdullah berkata, penglibatan mahasiswa dalam proses pemilihan itu penting bagi membentuk generasi pemimpin yang berintegriti, matang dan bertanggungjawab.
“Pencapaian ini amat menggalakkan dan menunjukkan komitmen mahasiswa dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Pemilihan pemimpin mahasiswa bukan sekadar proses memilih wakil pelajar, malah menjadi platform untuk membudayakan nilai demokrasi, integriti dan akauntabiliti dalam kalangan mahasiswa.
“Pengalaman ini juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk memahami kepentingan membuat keputusan secara bijaksana, menghormati perbezaan pandangan serta mengutamakan kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Pemilihan Pemimpin Mahasiswa UniMAP Sesi 2026/2027 yang turut dihadiri dekan dan timbalan dekan fakulti.
Menurut beliau, keunikan pemilihan itu ialah keseluruhan prosesnya dikendalikan oleh mahasiswa menerusi Jawatankuasa Pemilihan Pemimpin Mahasiswa UniMAP Sesi 2026/2027, sekali gus memberi pengalaman langsung dalam pengurusan organisasi dan pelaksanaan proses pemilihan.
“Kepercayaan yang diberikan kepada mahasiswa untuk mengendalikan pemilihan ini merupakan ruang pembelajaran yang bermakna dalam membina kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan, selain memupuk nilai amanah serta ketelusan.
“Saya berharap pengalaman ini dapat melahirkan pemimpin mahasiswa yang bukan sahaja berketerampilan, malah mampu mendengar suara mahasiswa, memahami keperluan mereka dan menjadi penghubung yang berkesan antara mahasiswa dengan pihak universiti,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua dekan, timbalan dekan, pengerusi rancangan serta pihak yang terlibat atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan pemilihan berkenaan.

Katanya, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan proses pemilihan berjalan lancar, di samping memperkukuh budaya demokrasi dan pembangunan kepimpinan mahasiswa di universiti itu.
UniMAP berharap penglibatan mahasiswa dalam proses pemilihan berkenaan dapat terus diperkasakan bagi melahirkan barisan kepimpinan pelajar yang berwibawa, berintegriti dan mampu membawa aspirasi mahasiswa ke arah pembangunan komuniti kampus yang lebih baik.
















