Advertisement

Watikah Menjadi Saksi, Bakti Menjadi Bukti : Membina Kepimpinan Rakan Exco MMKUO

Oleh : Nurul Izzah Azmi dan Alvina Jelambai Entamit

TANJONG MALIM, 25 Oktober 2026 – Pelantikan dalam sesebuah organisasi bukan sekadar pengiktirafan terhadap kebolehan seseorang mahasiswa, malah merupakan permulaan kepada tanggungjawab yang menuntut komitmen, disiplin dan integriti. Berteraskan aspirasi tersebut, Majlis Watikah Pelantikan Rakan Exco Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO) telah berlangsung pada 25 Oktober 2026 sebagai simbol pelantikan rasmi mahasiswa terpilih untuk bersama-sama menggerakkan organisasi serta menyumbang kepada kesejahteraan warga kolej.

Ucapan daripada Puan Siti Norhuda Md Ali, Ketua Felo Kolej Ungku Omar.

Majlis ini turut diserikan dengan ucapan Puan Siti Norhuda Md Ali, Ketua Felo Kolej Ungku Omar, yang menekankan kepentingan tanggungjawab dan komitmen dalam menjalankan peranan sebagai Rakan Exco. Amanah yang diberikan bukan sekadar melibatkan pelaksanaan tugasan, malah menuntut sikap prihatin, kematangan dalam membuat keputusan dan kesediaan untuk bekerjasama demi kepentingan bersama. Bimbingan serta sokongan daripada pihak pengurusan kolej juga memainkan peranan penting dalam membantu mahasiswa mengembangkan potensi kepimpinan dan melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

Ucapan daripada Safiah Balqis Wahid, Pengarah Program Bengkel Organisational Excellence: Connect, Contribute, Commit.

Sementara itu, Nurafiah Balqis Wahid, Pengarah Program Bengkel Organisational Excellence: Connect, Contribute, Commit (OCEAN), turut menyampaikan ucapan kepada barisan Rakan Exco yang dilantik. Bengkel OCEAN yang berlangsung sebelum majlis ini menjadi platform persediaan kepada peserta untuk memahami peranan dan tanggungjawab dalam organisasi. Pelantikan ini seterusnya membuka ruang kepada para peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dalam melaksanakan amanah serta menyumbang secara aktif kepada organisasi kolej.

Sesi penyerahan watikah pelantikan kepada Rakan Exco MMKUO.

Setiap Rakan Exco yang dilantik mempunyai peranan tersendiri dalam membantu memastikan kelancaran pengurusan kolej, menyokong pelaksanaan aktiviti dan mengambil berat tentang kebajikan penghuni. Pelaksanaan tanggungjawab ini memerlukan kerjasama erat antara setiap portfolio agar segala perancangan dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan. Justeru, kemahiran komunikasi, semangat kerja berpasukan dan sikap proaktif menjadi elemen penting dalam membentuk barisan kepimpinan mahasiswa yang berupaya memenuhi keperluan komuniti kolej.

Gambar Rakan Exco MMKUO Sidang Enthra 2026/2027

Majlis Watikah Pelantikan Rakan Exco MMKUO menjadi titik permulaan bagi mahasiswa terpilih untuk menggalas amanah dan memainkan peranan dalam memacu kecemerlangan organisasi. Pelantikan ini diharapkan dapat menyemai semangat kepimpinan, memperkukuh komitmen terhadap khidmat mahasiswa serta mendorong setiap Rakan Exco melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan integriti. Semoga amanah yang diterima dapat diterjemahkan melalui tindakan dan sumbangan bermakna demi kesejahteraan warga Kolej Ungku Omar.

Total Views: 3