oleh : Ihsan Noorzali
Tanjong Malim, 31 Oktober 2026— Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkasakan jalinan kerjasama bersama komuniti sekolah menerusi pelancaran Projek Rintis Kelestarian UPSI@Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Shahriman, Beruas semalam.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Manjung, Musa Hamid, bertempat di Dewan SMK Raja Shahriman.
Dalam ucapan perasmiannya, Musa berkata konsep kelestarian tidak seharusnya tertumpu kepada isu alam sekitar semata-mata, sebaliknya perlu bermula daripada corak pemikiran, pembuatan keputusan, serta tindakan harian masyarakat.

“Kelestarian merangkumi skop yang amat luas termasuk pendidikan, kesihatan, teknologi, kesejahteraan sosial, penggunaan sumber secara bertanggungjawab, dan pembinaan komuniti yang selamat,” katanya.
“Pendidikan tidak sepatutnya terhenti di dalam bilik darjah sahaja, tetapi perlu diperkaya menerusi pengalaman, perkongsian ilmu, serta penglibatan aktif masyarakat,” katanya.
Inisiatif terbaharu itu, katanya, bertujuan memupuk budaya kelestarian secara menyeluruh merangkumi aspek teknologi, kesihatan, kemahiran teknikal, nilai kemanusiaan, serta penjagaan persekitaran dalam kalangan warga sekolah.

Antara program utama yang dirancang menerusi projek rintis ini termasuklah pendedahan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) secara beretika, latihan bantuan kecemasan asas seperti Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) dan Pengawal Denyut Jantung Luar Automatik (AED), serta kursus baik pulih komputer untuk memanjangkan jangka hayat peralatan digital.
Selain itu, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI turut mengendalikan aktiviti bagi memperkukuh nilai sosial, sahsiah, dan penglibatan pelajar, manakala Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda UPSI memberikan perhatian terhadap aspek persekitaran serta cadangan penambahbaikan landskap sekolah.
“Saya menasihati para pelajar agar mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam kehidupan seharian bagi membolehkan anda bersaing pada masa hadapan menerusi pemikiran kritis, kebolehan menyelesaikan masalah, dan sifat bertanggungjawab terhadap masyarakat, “ katanya.

Beliau berharap agar jalinan kerjasama strategik antara pihak UPSI dan SMK Raja Shahriman ini dapat berterusan serta menjadi inspirasi kepada pelaksanaan inisiatif kelestarian di sekolah-sekolah lain pada masa akan datang.
Hadir sama pada majlis berkenaan Pengetua SMK Raja Shahriman, Kamarulnizam Amir; Ketua Pegawai Digital UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad; serta wakil-wakil pengurusan UPSI dan sekolah.
Pengerusi SDG@UPSI merangkap Ketua Pustakawan UPSI, Noriha Muhammad dalam ucapannya berkata sekolah adalah tempat penting untuk membentuk pemikiran, nilai dan tingkah laku generasi muda.
Oleh itu, katanya, budaya kelestarian perlu dipupuk sejak di bangku sekolah melalui amalan harian yang mudah, praktikal dan konsisten berikutan kelestarian bermula daripada diri dan persekitaran.
“Kelestarian bukan sekadar perkara yang kita pelajari tetapi nilai yang perlu kita hayati dan amalkan, malah saya berharap pelajar UPSI yang terbabit dalam program ini dapat menjadi duta kelestarian kepada masyarakat apabila keluar daripada universiti nanti,” katanya.













