SURABAYA, 5 September 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh keterlihatan dan jaringan strategik di peringkat serantau menerusi penyertaan dalam The 7th ASEAN University Network–Student Affairs Network (AUN-SAN) Annual Meeting & 2nd VOX Meeting yang berlangsung dari 2 hingga 5 September 2026 di Universitas Airlangga (UNAIR), Surabaya, Indonesia.
Bertemakan “Future Skills, Global Minds”, pertemuan berprestij ini menghimpunkan delegasi universiti dari seluruh rantau ASEAN bagi membincangkan hala tuju pembangunan mahasiswa dalam menghadapi perubahan pesat landskap pendidikan tinggi, teknologi dan dunia pekerjaan.

Perbincangan memberi tumpuan kepada beberapa agenda masa hadapan termasuk literasi kecerdasan buatan (AI), impak automasi, kerjaya global, pembelajaran tanpa sempadan, inovasi hijau, jaringan mahasiswa serta penerapan AI secara beretika.
Penyertaan UUM turut diperkukuh dengan penglibatan pemimpin mahasiswa UUM dalam 2nd VOX Meeting, sebuah platform yang memberi ruang kepada suara dan perspektif mahasiswa diketengahkan dalam perbincangan di peringkat serantau.

Penglibatan tersebut mencerminkan komitmen UUM dalam memastikan mahasiswa bukan sekadar menjadi penerima kepada perubahan, sebaliknya turut diberikan ruang untuk menyumbang idea dan memainkan peranan aktif dalam membentuk masa depan pendidikan tinggi ASEAN.
Pada masa sama, penyertaan dalam AUN-SAN membuka peluang kepada UUM untuk bertukar amalan terbaik bersama institusi serantau, meneroka potensi kerjasama baharu serta memperluas jaringan yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan dan pengalaman mahasiswa.

Platform antarabangsa seperti ini juga penting dalam memastikan pendekatan pembangunan mahasiswa UUM sentiasa relevan dengan perubahan global, khususnya dalam menyediakan graduan yang mempunyai kemahiran masa hadapan, pemikiran global dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi.
UUM merakamkan penghargaan kepada Universitas Airlangga atas penganjuran serta layanan yang diberikan sepanjang pertemuan berlangsung.
Segala perkongsian, pengalaman dan jaringan yang dibina di Surabaya diharapkan dapat diterjemahkan kepada kerjasama serta inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada mahasiswa UUM dan seterusnya memperkukuh peranan universiti dalam ekosistem pendidikan tinggi ASEAN.
Future Skills. Global Minds. ASEAN Connections.
Berita oleh: Muhammad Hafizal Faiz
Gambar: Media Rasmi AUN-SAN












