Advertisement

UUM CEMERLANG DI 25TH IMT-GT VARSITY CARNIVAL 2026

PADANG, INDONESIA – Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar pencapaian membanggakan pada 25th IMT-GT Varsity Carnival 2026 yang berlangsung pada 22 hingga 28 Ogos 2026 di Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia.

Pada edisi kali ini, UUM berjaya meraih tempat pertama bagi kategori Kebudayaan menerusi persembahan yang diwakili oleh Bidasari UUM.

Kontinjen UUM turut menunjukkan prestasi cemerlang dalam kategori sukan apabila memperoleh tempat kedua menerusi acara Tenis dan Petanque, selain meraih tempat kedua bagi kategori Seminar.

Penyertaan UUM dalam karnival yang menghimpunkan mahasiswa dan institusi pengajian tinggi dari Malaysia, Indonesia dan Thailand itu bukan sahaja mencatat kejayaan dalam pertandingan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kepimpinan mahasiswa, pertukaran budaya serta kerjasama akademik dan serantau.

Kejayaan tersebut turut mencerminkan komitmen dan keupayaan mahasiswa UUM untuk bersaing serta membawa nama universiti di peringkat antarabangsa.

25th IMT-GT Varsity Carnival 2026 menjadi medan memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan institusi anggota IMT-GT, di samping membuka ruang kepada jaringan dan kerjasama strategik yang lebih luas pada masa hadapan.

Tahniah kepada seluruh kontinjen UUM atas pencapaian membanggakan ini.

Berita: Muhammad Hafizal Faiz
Gambar: Nurshuhada Ishak & Media Rasmi UNP