SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) giat melakukan persiapan bagi menyambut kehadiran lebih 4,500 pelajar baharu bagi Sesi Akademik September 2026/2027, Semester A261 di Kampus Sintok.
Sebagai sebahagian daripada persiapan tersebut, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, mengadakan lawatan ke fasiliti Inapan Siswa (Inasis) bagi meninjau tahap kesiapsiagaan kemudahan penginapan menjelang ketibaan pelajar baharu.


Lawatan itu turut disertai Pusat Penginapan Pelajar dan Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan Infrastruktur (JPPI) bagi menyelaras tindakan serta mengenal pasti keperluan penyelenggaraan dan penambahbaikan.
Menurut Prof. Madya Dr. Bakti, persediaan rapi perlu dilakukan bagi memastikan pelajar dapat memulakan kehidupan dan sesi pengajian baharu dalam suasana yang selesa, selamat dan kondusif.
“Kita mahu memastikan segala kemudahan dan fasiliti Inasis berada dalam keadaan terbaik sebelum pelajar tiba. Keselesaan, keselamatan dan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan UUM,” katanya.

Antara aspek yang diberikan perhatian termasuk keadaan bilik penginapan, kemudahan asas, kebersihan, keselamatan serta fasiliti sokongan mahasiswa.
Dalam masa sama, pemantauan tersebut turut dilaksanakan sebagai persediaan menerima kepulangan pelajar sedia ada ke kampus bagi memulakan semester baharu, sekali gus memastikan fasiliti Inasis bersedia menampung keseluruhan warga mahasiswa yang kembali ke Kampus Sintok.
UUM komited memastikan proses penerimaan pelajar baharu serta kepulangan pelajar sedia ada bagi Semester A261 berjalan lancar dan teratur, di samping menyediakan persekitaran kampus yang selesa dan kondusif.
Berita dan gambar oleh: Muhammad Hafizal Faiz












