Advertisement

UTM Lancar Dapur Siswa MADANI Bantu Mahasiswa B40 Dan Asnaf

Oleh Nazratul Hazirah binti Rushdan

JOHOR BAHRU, 3 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini melancarkan Dapur Siswa MADANI, satu inisiatif bagi membantu mahasiswa mendapatkan akses makanan secara lebih bersistematik dan berterusan, khususnya dalam kalangan pelajar B40 dan asnaf.

Menurut kenyataan UTM, program berkenaan merupakan yang pertama seumpamanya dilaksanakan di universiti awam di negara ini, sebagai usaha menangani peningkatan kos sara hidup mahasiswa.

“Buat permulaan, program Dapur Siswa MADANI menyediakan makanan ruji iaitu nasi berserta lauk kepada pelajar B40 tempatan di Masjid UTM dengan tajaan Unit Zakat, Pusat Islam UTM, mengikut jadual tertentu,” menurut Naib Canselor UTM,  Profesor Ts. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim.

Gambar 1: Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Profesor Dr Azlinda Azman bertemu pelajar-pelajar UTM.

Majlis pelancaran itu diadakan serentak dengan penyerahan sumbangan agihan zakat dan bantuan Aidilfitri sempena Majlis Khatam al-Quran dan Iftar Perdana UTM 2026 di Masjid Sultan Ismail di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Profesor Dr Azlinda Azman selaku wakil Menteri Pendidikan Tinggi.

Program ini adalah sebahagian daripada Program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI Zon Selatan yang menghimpunkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memperkukuh nilai kepimpinan, kebersamaan dan kesejahteraan mahasiswa.

Bersempena majlis itu, UTM turut mengagihkan zakat 2025 berjumlah RM1.8 juta serta bantuan Hari Raya melalui Dana Wakaf UTM sebanyak RM5,000 yang memberi manfaat kepada pelajar asnaf universiti berkenaan.

“Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkasa agenda kebajikan mahasiswa berteraskan Malaysia MADANI serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke arah kampus yang lebih inklusif, sejahtera dan lestari,” menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Azlinda Azman.

Majlis Khatam al-Quran dan Iftar Perdana UTM 2026 yang menghimpunkan kira-kira 2,000 mahasiswa termasuk pemimpin muda IPT di Johor turut menerima sokongan penajaan daripada Yayasan Zarith Sofiah Negeri Johor dan Yayasan Perkasa Siswa.

Menurut UTM, penganjuran program berkenaan mencerminkan kesepaduan antara kepimpinan nasional, institusi pendidikan tinggi dan rakan strategik dalam memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa sebagai tunjang kelestarian sistem pendidikan tinggi negara.