Advertisement

UTHM Perkenal Program Walkabout dan Gotong-Royong EKSA 2026, Rasmi Student Lounge Perkukuh Agenda Kebajikan Pelajar

Oleh: Suhailah binti Muhammad Philip

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melakar satu lagi langkah progresif dalam memperkukuh budaya kecemerlangan organisasi apabila melancarkan Program Walkabout dan Gotong-Royong Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) UTHM 2026, yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, di Bilik Banquet, Dewan Sultan Ibrahim, pada 29 Julai 2026.

Program yang julung kali diperkenalkan di peringkat universiti itu bertujuan memperkasa pelaksanaan EKSA melalui pendekatan lebih menyeluruh dengan memperluaskan pemantauan bukan sahaja di ruang pejabat, malah melibatkan kawasan awam, laluan pejalan kaki, kawasan parkir, landskap, kemudahan gunasama serta persekitaran bangunan universiti.

Inisiatif tersebut turut memperkenalkan konsep Walkabout EKSA, iaitu pendekatan proaktif bagi mengenal pasti isu berkaitan kebersihan, keselamatan, penyelenggaraan dan imej korporat secara lebih sistematik sebelum tindakan penambahbaikan dilaksanakan secara bersama.

Majlis pelancaran disusuli Pelaksanaan Simbolik Walkabout dan gotong-royong melibatkan tiga lokasi utama iaitu Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) dan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) sebagai model pelaksanaan awal sebelum diperluaskan ke seluruh Pusat Tanggungjawab (PTj) di UTHM.

Melalui pendekatan baharu itu, setiap dapatan hasil walkabout akan direkodkan menerusi Borang Pelaporan Walkabout dan Aduan EKSA UTHM sebelum tindakan pembetulan dilaksanakan oleh PTj berkaitan atau secara kolaboratif mengikut keperluan.

Dalam siri Program Walkabout dan Gotong-Royong EKSA 2026, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Universiti serta pengurusan tertinggi UTHM telah mengadakan lawatan ke Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) bagi meninjau pelaksanaan amalan EKSA yang dilaksanakan di pusat tanggungjawab tersebut. Lawatan itu memberi tumpuan kepada aspek kebersihan, kekemasan, keselamatan, penyelenggaraan, inovasi ruang kerja serta penyediaan kemudahan yang menyokong kesejahteraan pelajar.

Bersempena lawatan tersebut, Dato’ Sri Ibrahim turut menyempurnakan Majlis Perasmian Student Lounge UTHM, sebuah kemudahan baharu yang dibangunkan oleh PHEP bagi menyediakan ruang yang kondusif untuk pembelajaran, perbincangan, rehat dan interaksi dalam kalangan pelajar.

Pembangunan Student Lounge merupakan sebahagian daripada inisiatif penambahbaikan persekitaran kerja dan kemudahan di bawah pembudayaan EKSA, yang menekankan penyediaan ruang yang bersih, kemas, selamat, selesa dan mesra pengguna.

Beliau turut diberikan taklimat mengenai fungsi Student Lounge sebagai pusat sokongan kepada pelbagai inisiatif kebajikan pelajar, termasuk penyediaan Foodbank, pengagihan bantuan kebajikan serta pelaksanaan program pembangunan pelajar.

Kemudahan tersebut diharap dapat menjadi ruang yang menggalakkan pembelajaran kolaboratif, pembangunan sahsiah dan interaksi positif dalam kalangan pelajar, sekali gus menyokong usaha universiti mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih holistik.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, pembangunan Student Lounge merupakan antara inisiatif strategik Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) dalam memperkukuh agenda kebajikan dan kesejahteraan pelajar melalui penyediaan ruang yang kondusif, inklusif dan mesra pengguna.

“Kemudahan tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai ruang pembelajaran, perbincangan dan interaksi, malah turut menjadi pusat sokongan kepada pelbagai inisiatif kebajikan pelajar seperti Foodbank, pengagihan bantuan serta pelaksanaan program pembangunan sahsiah dan kepimpinan.

“Perasmian Student Lounge membuktikan komitmen berterusan UTHM dalam memperkasa budaya EKSA bukan sahaja melalui penyediaan persekitaran kerja yang berkualiti, malah menerusi penyediaan kemudahan yang memberi nilai tambah kepada pengalaman dan kesejahteraan pelajar.

“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi UTHM Prihatin dan Global Technopreneur University (GTU) 2030 yang mengutamakan penyampaian perkhidmatan berkualiti, kesejahteraan warga kampus dan pembangunan pelajar secara menyeluruh,” katanya.

Pelaksanaan Program Walkabout dan Gotong-Royong EKSA 2026 itu dijangka menjadi pemangkin kepada pengukuhan budaya kualiti, penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap serta pengurusan persekitaran kampus yang mampan selaras dengan aspirasi UTHM untuk terus menjadi universiti teknikal bertaraf global.

#uthm #hepaUTHM