Advertisement

UTHM dinobatkan Institusi Terbaik (Universiti), bawa pulang hadiah keseluruhan RM280 ribu di AKKPT 2025

Oleh: Pusat Teknousahawan Universiti, UTHM

KUALA LUMPUR, 15 Mei 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dinobatkan sebagai Pemenang Kategori A: Institusi Terbaik (Universiti) dalam Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2025 (AKKPT 2025) yang berlangsung pada 15 Mei 2026 di Hilton Kuala Lumpur.

Majlis gilang gemilang ini dihadiri oleh Naib Canselor YBhg Prof Ts Dr Mas Fawzi Mohd Ali bersama sama Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi YBhg Prof Dr Rabiah Ahmad serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar YBhg Prof Ts Dr Abdul Rasid Abdul Razzak.

Kejayaan besar itu melayakkan UTHM membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM250 ribu, berserta ganjaran tambahan RM30 ribu sebagai finalis, menjadikan jumlah keseluruhan dana pembangunan keusahawanan yang dimenangi adalah RM280 ribu.

Selain kemenangan utama universiti, edisi kali ini turut menyaksikan kejayaan manis bagi kategori individu, apabila Naqibah Azman dari White Space Resources berjaya menggondol ‘Tempat Pertama’ bagi Kategori E: Projek Keusahawanan Sosial Terbaik, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM20 ribu.

Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.

Pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan individu, malah menjadi bukti kukuh komitmen berterusan UTHM dalam melahirkan usahawan teknopreneur yang berdaya saing, inovatif dan berimpak tinggi selaras dengan matlamat GTU2030.

UTHM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua finalis yang telah mengharumkan nama UTHM di pentas akhir AKKPT 2025 iaitu :

1. Prof. Madya Sr. Dr. Nazirah Mohammad Abdullah (Finalis Pengarah Pusat Keusahawanan Terbaik)

2. Prof. Madya Dr. Siti Sarah Omar (Finalis Mentor Keusahawanan Terbaik)

3. Mohammad Nor Azad Badli (FF Bina) – (Finalis Perusahaan Pelajar Terbaik)

Penghargaan paling istimewa buat seluruh warga Pusat Teknousahawan Universiti (PTU) yang bertungkus-lumus menyusun strategi, merancang, menyelaras, melaksana dan memastikan setiap inisiatif, data, pelaporan, program, latihan, pertandingan, pemantauan startup dan pembangunan ekosistem keusahawanan dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Segala pengorbanan masa, tenaga, idea dan komitmen yang diberikan akhirnya membuahkan hasil yang amat membanggakan buat universiti tercinta ini.

Semoga pengiktirafan tertinggi itu menjadi pemangkin semangat buat seluruh warga kampus untuk terus membudayakan kecemerlangan keusahawanan di peringkat global.